MB Pahang: Rakyat perlu tahu perkara sebenar isu pembatalan ordinan darurat
Pengerusi BN Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata percanggahan pandangan antara Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan mengenai pembatalan ordinan darurat yang kini menjadi perdebatan umum bukanlah persoalan pokok.
Sebaliknya, kata Menteri Besar Pahang itu, rakyat perlu mengetahui perkara sebenar mengenai pembatalan ordinan darurat.
Wan Rosdy berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden MIC S Vigneswaran yang menyarankan agar isu berkenaan tidak didebatkan secara terbuka.
"Mengenai pertikaian Vigneswaran – ‘why is dirty linen being washed in public..’ (kenapa perselisihan pendapat didebat secara umum) merujuk kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan pusat; ia bukanlah persoalan pokok.
"Yang utamanya ialah, rakyat perlu turut diberi kesedaran dan mereka juga berhak mengetahui perkara sebenar – tanpa selindung; mengenai isu yang diperkatakan sekarang," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Perselisihan antara pihak istana dan kerajaan timbul selepas Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum ini menegur kerajaan dan menyatakan rasa dukacita kerana ordinan darurat tidak dibentang dan dibahaskan di parlimen.
Kerajaan sebaliknya membatalkan ordinan darurat tanpa perkenan Agong.
Susulan itu, ramai pihak membidas kerajaan, termasuklah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan, selain menyeru ahli parlimen Umno menarik sokongan daripada presiden Bersatu itu.
Wan Rosdy sebelum ini turut mencadangkan agar Muhyiddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan memohon ampun kepada Agong.
Bagaimanapun, tidak semua ahli parlimen Umno mengendahkan seruan Zahid. Begitu juga rakan gabungan Umno dalam BN, MCA dan MIC menyatakan sokongan kepada kepimpinan Muhyiddin.
Vigneswaran, dalam kenyataan sebelum ini mempertahankan tindakan kerajaan membatalkan ordinan darurat tanpa membahaskannya di parlimen dengan berkata lebih banyak isu lain yang lebih penting perlu ditangani.
Selain itu, kata Vigneswaran, perbahasan itu akan membuang masa yang diberikan untuk ahli parlimen di Dewan Rakyat memulakan protokol dan prosedur untuk membangun semula negara.
Sengaja dimanipulasi
Sementara itu, dalam kenyataan malam ini, Wan Rosdy berkata kenyataan Vigneswaran sengaja dimanipulasi sehingga lebih menjurus kepada suatu "kenyataan politik" demi manfaat politik.
“Saya tidak mahu mengulas satu persatu terhadap ulasan beliau (Vigneswaran), tetapi cukuplah dengan maklum balas saya kepada beberapa perkara yang dibangkitkannya.
“Disebutnya tentang Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan mengenai fungsi Yang di-Pertuan Agong yang perlu bertindak menurut nasihat Jemaah Menteri.
“Lalu beliau mendakwa betapa dalam keadaan sekarang menerusi beberapa titah telah dikeluarkan, Seri Paduka pula yang bertindak menasihati Jemaah Menteri tentang perkara yang perlu dilakukan,” katanya.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata ‘nasihat’ di bawah Perkara 40 (1) adalah tidak mutlak.
“Perkara 40 (2) ada termaktub bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicara Seri Paduka pada melaksanakan beberapa fungsi.
“Antaranya, meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-raja yang semata-mata berkenaan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu, dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.
“Berkenaan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat 2021 itu sendiri, telah termaktub secara jelas betapa dalam soal untuk membatalkannya, ia hendaklah dibentang dan dibahaskan dalam Parlimen terlebih dahulu.
“Inilah juga yang dititahkan oleh Seri Paduka pada perbincangan secara maya dengan wakil Kerajaan Pusat dan Peguam Negara pada 24 Julai lalu,” katanya.
Jelasnya, kedua-duanya digubal dan dimaktubkan oleh kerajaan pusat maka menjadi tanggungjawabnya jugalah untuk memastikan setiap yang termaktub, dilaksanakan termasuk dalam hal mengemukakannya ke parlimen untuk perbahasan dan kelulusan.
Tegasnya, ia adalah keperluan kerana tanpa ia dikemukakan kepada parlimen untuk dibahas dan dilulus pembatalannya, apa juga perkara terkandung dalam Ordinan Darurat 2021 khususnya, akan kekal berkuat kuasa untuk selama enam bulan akan datang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai