Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno Kelantan desak Muhyiddin letak jawatan PM

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Umno Kelantan menuntut Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan segera susulan pengumuman pembatalan Ordinan Darurat baru-baru ini.

Pengerusi Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub berkata pihaknya amat kesal dengan kerajaan pimpinan Muhyiddin yang didakwa melakukan penderhakaan terhadap Agong.

“Kenyataan media Istana Negara Khamis lalu bukan sahaja mendedahkan Agong belum pun memperkenankan pembatalan semua Ordinan Darurat sebagaimana dakwaan Menteri Undang-Undang dalam Dewan Rakyat 26 Julai lalu.

“Tetapi jelas telah menitahkan supaya semua Ordinan Darurat tersebut dibahaskan dan diungkaikan di dalam parlimen sebagaimana yang diperuntukkan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Justeru Badan perhubungan Umno Kelantan berpendirian tegas mendesak Tan Sri Mahiaddin Md Yasin meletakkan jawatan sebaagi perdana menteri. Selaku ketua kerajaan Perikatan Nasional, beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas penderhakaan yang dilakukan," katanya dalam kenyataan.

Perselisihan antara pihak istana dan kerajaan timbul selepas Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum ini menegur kerajaan dan menyatakan rasa dukacita kerana Ordinan Darurat tidak dibentang dan dibahaskan di parlimen.

Kerajaan sebaliknya membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan Agong.

Susulan itu, ramai pihak membidas kerajaan, termasuklah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan, selain menyeru ahli parlimen Umno menarik sokongan daripada presiden Bersatu itu.

Mengulas kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri bagi menjawab kenyataan Istana Negara, Ahmad Jazlan berkata tindakan itu menyerlahkan sikap Muhyiddin yang jelas mencabar kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja Berperlembagaan.

“Penutupan parlimen atas alasan diserang virus Covid-19 juga hanya menyerlahkan lagi sikap kerajaan yang sanggup mempermain-mainkan dan meremehkan sistem demokrasi berparlimen.

“Ini satu lagi tindakan derhaka terbaru yang dilakukan kerajaan sedangkan Agong sudah bertitah lebih daripada 3 kali mengenainya,” katanya.

Ahmad Jazlan berkata Umno Kelantan juga sepakat untuk terus mempertahankan dan membela Yang di-Pertuan Agong selaras dengan asas dan matlamat perjuangan parti itu.