Skip to main
Logo Malaysiakini

Kit Siang: Adakah parlimen akan bersidang semula 16 Ogos?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang mempersoalkan apakah parlimen akan bersidang semula pada pertengahan bulan Ogos seperti yang disarankan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

"Adakah Dewan Rakyat akan bersidang semula pada 16 Ogos, dan Dewan Negara bersidang semula pada 17 hingga 19 Ogos, dua minggu selepas tempoh penggantungan sidang akibat wabak Covid-19 seperti yang dicadangkan oleh Noor Hisham ini?" soalnya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata hari ini merupakan satu titik hitam dalam sejarah berparlimen negara apabila ahli parlimen dihalang memasuki bangunan parlimen susulan penangguhan sidang khas Dewan Rakyat.

"Saya tidak terfikir sesiapa pun, baik di masa lepas, sekarang, atau dari masa hadapan, yang akan menjangkakan akan ada satu hari di mana ahli-ahli parlimen Malaysia dihalang daripada datang ke parlimen.

"Ia juga akan mencatatkan sejarah memalukan di mana parlimen dikunci menggunakan wabak Covid-19 sebagai alasan untuk menyelamatkan kerajaan pintu belakang yang tidak sah dan tidak demokratik daripada ditumbangkan dalam sebuah krisis perlembagaan besar yang disebabkannya sendiri?" soalnya.

Pagi tadi, seramai 107 ahli parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka  sebelum berarak ke parlimen. Bagaimanapun mereka tidak dapat memasuki bangunan parlimen selepas disekat oleh pihak polis.

Parlimen sepatutnya bersidang hari ini tetapi ditangguhkan oleh perdana menteri Muhyiddin Yassin atas alasan berlaku penularan kes Covid-19. 

Noor Hisham semalam berkata walaupun hanya 11 daripada 1,183 orang di parlimen didapati positif Covid-19, penilaian Kementerian Kesihatan mendapati terdapat risiko tinggi penyebaran virus berkenaan.

"Mengambil kira hasil penilaian risiko semasa dan bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 dari berlaku di Parlimen, maka KKM telah mencadangkan agar semua sesi mesyuarat termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen serta pembentangan yang dirancang di Parlimen atau yang melibatkan individu yang berada di Parlimen pada 26 Julai sehingga 29 Julai 2021 ditangguhkan sementara waktu untuk tempoh dua (2) minggu bermula dari 29 Julai 2021," katanya.