Skip to main
Logo Malaysiakini

Ribuan mati tapi Muhyiddin seronok jadi PM - Mahathir

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dr Mahathir Mohamad berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertekad untuk kekal berkuasa dengan apa cara sekali pun meskipun ribuan rakyat Malaysia terkorban akibat Covid-19.

"Ribuan orang mati, tapi dia seronok jadi perdana menteri. Ini perdana menteri macam ini tidak pernah dilihat di Malaysia.

"Kalau Abdullah Badawi dulu, bila orang tegur kerana pemerintahannya kurang baik, dia letak jawatan. Ini orang maki hamun pun tak ada rasa malu, tak tahu malu langsung. Sudahlah jadi perdana menteri melalui pintu belakang. Orang tunjuk pintu keluar dia tak keluar.

"Saya harap negara akan menolak jenis manusia seperti ini daripada agenda politik," kata Mahathir ketika berucap di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pagi tadi.

Bekas perdana menteri itu berdiri bersebelahan Presiden PKR, Anwar, Ibrahim dan ahli Parlimen pembangkang lain termasuk Presiden Warisan, Shafie Apdal.

Mereka berarak dari Dataran Merdeka menuju ke Dewan Rakyat namun disekat daripada memasuki bangunan parlimen oleh pasukan polis termasuk anggota FRU.

Dalam himpunan itu, ahli-ahli parlimen pembangkang mengulangi desakan agar Muhyiddin meletak jawatan selepas menerima teguran daripada Yang di-Pertuan Agong minggu lalu.

'Kami bukan penjenayah'

Anwar, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebelum ini mendakwa Muhyiddin menjadi isu Covid-19 sebagai alasan untuk menghalang parlimen bersidang.

"Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia di mana ahli-ahli Parlimen tidak boleh pergi ke parlimen. Kita lihat ramai polis jaga, kita bukan penjenayah tak payahlah (jaga).

"Jadi saya bersama-sama dengan parti pembangkang yang lain di sini, saya sokong pendirian, iaitu kita patut adakan persidangan hari ini untuk bincang berkenaan darurat, seperti yang dijadualkan.

"Jadi saya harap, rakyat faham kenapa kita buat kejadian ini," kata Mahathir yang sebelum ini enggan menetapkan tarikh penyerahan kuasa kepada Anwar sehingga mencetuskan peristiwa yang menyebabkan Muhyiddin mengambil alih jawatan perdana menteri.

Mahathir mendakwa tindakan Muhyiddin menyebabkan keadaan negara ini menjadi tidak menentu apabila menamatkan ordinan darurat tanpa memaklumkan kepada Istana Negara.

"Tetapi ini (ordinan darurat) belum dikemukakan ke parlimen (telah) dibawa ke Raja.

"Jika tidak ada upaya sedikit pun untuk mengikuti peraturan, maka kami tidak lagi diperintah menurut undang-undang.

"Apa jenis kerajaan ini, yang merosakkan negara kita," kata pemimpin berusia 96 tahun itu yang memimpin Malaysia dua kali dari 1981 hingga 2003 dan sekali lagi dari Mei 2018 hingga Februari 2020.