Skip to main
Logo Malaysiakini

Prosedur urus jenazah Covid-19: Serangan pada Jais tak tepat, prejudis

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hanya menguruskan jenazah pesakit Covid-19 yang telah dilepaskan oleh pihak hospital, kata pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad.

Menurutnya perkara seperti memaklumkan tentang kematian pesakit Covid-19 dan kehadiran waris ke hospital adalah di bawah urusan pihak hospital.

“Beberapa serangan terhadap Jais di media sosial dalam hal pengurusan jenazah Covid-19 adalah suatu telahan yang menyimpang.

"Ia juga tidak tepat, bersifat prejudis dan boleh menimbulkan perspektif buruk kepada dasar dan ketetapan baru Jais berhubung pengurusan jenazah Covid-19 yang telah dikuatkuasakan di seluruh Selangor pada 28 Julai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan berkata Jais mengambil maklum berkenaan beberapa tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan kepada mereka di media sosial berhubung pelaksanaan ketetapan baru pengurusan jenazah mangsa Covid-19.

Katanya pengendalian jenazah Covid-19 di Selangor telah disemak semula bagi membantu mengatasi kekangan dan meringankan tekanan pasukan barisan hadapan hospital terutamanya di bahagian forensik bagi mengelak berlaku semula backlog (tunggakan) jenazah kes kematian orang Islam akibat virus itu.

"Jais menegaskan dan mengesyorkan sekiranya pihak waris jenazah Covid-19 atau NGO atau mana-mana individu mempunyai bukti terhadap perlanggaran ketetapan terbaru itu, atau perbuatan jenayah atau salah guna kuasa, terus buat aduan kepada Jais atau laporkan kepada pihak berwajib untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Shahzihan berkata jabatan itu juga menetapkan bahawa tiada sebarang bayaran dikenakan kepada keluarga atau waris atas setiap pengurusan jenazah Covid-19 yang diuruskan oleh Jais.

Katanya bayaran hanya dikenakan oleh pihak pengurusan tanah perkuburan termasuk kos membuat keranda jika perlu dan ia dibayar oleh keluarga atau waris terus kepada pihak pengurusan tanah perkuburan terbabit.

Katanya Jais menetapkan tanah perkuburan yang sesuai bagi urusan jenazah Covid-19 untuk kemudahan semua pihak namun bagi situasi berkeperluan khas, mereka boleh membuat pertimbangan tertentu untuk melakukan perubahan yang bersesuaian dengan kepentingan umum, khususnya umat Islam.

Pada masa yang sama, Jais juga mempelawa sukarelawan dan mana-mana NGO yang ingin bekerjasama dengan Pasukan Petugas Pengurusan Jenazah Covid-19 Jais membantu menguruskan jenazah berkenaan, perlu mematuhi ketetapan yang dibuat oleh jabatan itu.

- Bernama