Muhyiddin umum 3 negeri beralih ke Fasa 3 PPN
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan tiga negeri akan beralih kepada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 4 Ogos ini.
Tiga negeri berkenaan ialah, Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
"Alhamdulillah, sukacita ingin saya umumkan bahawa tiga buah negeri yang menunjukkan prestasi yang amat baik akan beralih ke Fasa 3 PPN iaitu Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa Rabu, 4 Ogos 2021.
"Tahniah dan syabas saya ucapkan. Suka untuk saya mengingatkan agar SOP dan peraturan yang telah ditetapkan terus dipatuhi dan semua usaha untuk menambahbaik situasi pandemik di negeri masing-masing diteruskan.
"Saya berharap dengan kerjasama semua pihak di seluruh negara lebih banyak negeri akan dapat bergerak ke fasa seterusnya," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Tambah Muhyiddin, negara harus optimis dan terus bergerak ke hadapan supaya pemulihan negara dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan selamat.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga sedang memperincikan kemudahan kepada individu yang telah lengkap mendapat dua dos suntikan vaksin
Katanya, turut dibincangkan adalah kemudahan yang bakal dinikmati sektor ekonomi.
"Perkara ini perlu diperhalusi dengan berhati-hati bagi memastikan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai