Skip to main
Logo Malaysiakini

Syarikat dipromosi MySejahtera jual kit ujian kendiri Covid-19 henti jualan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pharma2U, platform e-dagang yang baru-baru ini dipromosikan oleh aplikasi MySejahtera sebagai portal untuk membeli alat ujian kendiri Covid-19, telah menghentikan penjualan.

Ini berlaku setelah Persatuan Ahli Farmasi Malaysia membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan yang mendakwa bahawa ia adalah penyalahgunaan kedudukan dominan MySejahtera.

Kumpulan ahli farmasi itu juga mendakwa bahawa Pharma2U bukan ahli farmasi berdaftar dan juga tidak diluluskan untuk menjual alat ujian kendiri Covid-19, selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan.

Berikutan aduan tersebut, Pharma2U hari ini mengeluarkan notis di portal e-dagang berkenaan.

"Alat ujian kendiri tidak tersedia untuk penjualan dalam talian buat sementara waktu.

"Penjual untuk alat ujian kendiri ini, Salixium, Gmate, Juschek, LongSee, All Test dan Beright bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan ia tersedia secepat mungkin," katanya.

Pharma2u menambah bahawa pihaknya akan memaklumkan pelanggan yang telah membuat pesanan.

MySejahtera masih mempunyai pautan ke Pharma2u sebagai platform untuk memperoleh kit ujian kendiri Covid-19.

Persatuan Ahli Farmasi Malaysia meminta MySejahtera untuk memasukkan peta bagi merujuk orang ramai ke farmasi komuniti terdekat mereka.

Menurut garis panduan Kementerian Kesihatan, hanya premis farmasi komuniti berlesen atau kemudahan penjagaan kesihatan yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) yang dibenarkan memberikan penjualan alat ujian kendiri Covid-19.