K'jaan ada penyelesaian isu pembatalan darurat, kata Annuar
Menteri Wilayah Pesekutuan, Annuar Musa menegaskan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) tidak berdepan krisis perlembagaan, seputar isu melibatkan pembatalan ordinan darurat dan Yang di-Pertuan Agong.
Ahli Parlimen Ketereh itu sebaliknya berkata, hubungan kerajaan dengan Yang di-Pertuan Agong kekal utuh dan kerajaan sudah ada penyelesaian dalam isu pembatalan ordinan darurat.
"Kerajaan sudah punya cara penyelesaian isu pembatalan ordinan-ordinan darurat dan pasti mengambil kira titah dan pandangan Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam hantaran di Facebook, malam tadi.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan mengumumkan ordinan darurat telah dibatalkan pada 21 Julai lalu.
Perkara itu dipersoalkan pembangkang yang antara lain mendakwa ia belum mendapa perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Annuar juga berkata kerajaan "masih dalam proses" membatalkan ordinan-ordinan tersebut.
Kenyataan Istana Negara kemudian mengesahkan perkara itu dan Takiyuddin disifatkan telah mengelirukan Dewan Rakyat memandangkan pembatalan tersebut belum diperkenankan.
Kenyataan itu turut menyatakan Yang di-Pertuan Agong "amat dukacita" kerana kerajaan telah berkata ordinan tersebut akan dibahas dan diungkai di Parlimen.
Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata kerajan sudah menasihatkan Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara itu dan pembatalan dibuat secara teratur dan selaras dengan undang-undang serta perlembagaan.
Pertikaian itu mencetuskan anggapan sesetengah pihak bahawa negara sedang menghampiri krisis perlembagaan.
Bagaimanapun Annuar menyangkal anggapan sedemikian.
"Tiada krisis perlembagaan. Kerajaan tetap terus mengekalkan hubungan baik dan penuh kesetiaan pada raja dan negara.
"Tidak benar jika ada yang cuba bawa naratif kerajaan atau perdana menteri menghadapi krisis, atau kononnya berlaku krisis perlembagaan," katanya lagi.
Annuar juga berkata dia yakin Yang di-Pertuan Agong juga tidak suka dengan tindakan "pihak tertentu" yang menurutnya mengambil kesempatan bagi memenuhi agenda politik mereka.
"Yang pasti baginda sekadar mahu tatacara pembatalan ordinan darurat di lakukan secara 'annulment' (pembatalan) di Parlimen," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai