Skip to main
Logo Malaysiakini

Senator pembangkang tetap ke Parlimen, kesal sidang Dewan Negara ditangguh

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tidak seperti semalam yang menyaksikan ahli parlimen pembangkang berdepan dengan pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU), sekumpulan senator pembangkang hari ini tidak berdepan banyak masalah untuk memasuki bangunan Parlimen.

Kehadiran mereka untuk menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim setelah sidang khas, yang dijadual dibuat pada 3 hingga 5 Ogos, ditangguhkan.

Menurut kenyataan yang dilihat Malaysiakini, mereka menyuarakan kekesalan berhubung penangguhan itu.

Kesemua 16 senator itu turut menggesa ordinan darurat dibentang dan dibahaskan di Dewan Negara.

"Kami berasa kesal apabila Dewan Negara ditangguh dengan notis yang singkat.

"Ramai ahli Dewan Negara telah hadir awal ke Kuala Lumpur sejak hari Jumaat, 30 Julai 2021 lalu, bagi menjalani Ujian Covid-19 sebagai persediaan menghadiri mesyuarat khas.

"Sebagaimana Tan Sri (Rais) maklum, mengikut Fasal 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, proklamasi dan ordinan-ordinan darurat tersebut bukan sahaja perlu dibentangkan di Dewan Rakyat malah ia wajib juga dibentangkan di Dewan Negara.

"Sehubungan itu, kami ingin menyatakan kesediaan kami untuk mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong agar Parlimen dapat bersidang dan membahaskan proklamasi dan ordinan-ordinan darurat dan juga perkara-perkara berkaitan," kata mereka.

Ketika dihubungi, senator PKR Yusmadi Yusoff berkata seramai 11 senator masuk ke bangunn Parlimen pada pukul 9.30 pagi.

Mereka termasuk senator PKR iaitu Manolan Mohamad, Ismail Yusop, Ahmad Azam Hamzah and Yaakob Sapari serta Suresh Singh Rashpal Singh, AN Kesavadas, Alan Ling, Lim Hui Ying dan Adrian Lasimbang daripada DAP. Senator daripada Amanah Raj Munni Sabu turut hadir.

Lima lagi senator yang menandatangani memorandum tetapi tidak hadir hari ini adalah Theodore Douglas Lind (Warisan), Husam Musa (Amanah), Donald Peter Mojuntin (Upko), Nga Hock Cheh (DAP) dan Mohd Imran Abdul Hamid (PKR).

'Parlimen selamat, kebanyakan sudah divaksin'

Selepas masuk, mereka kemudian secara rasmi menyerahkan memorandum kepada setiausaha Dewan Negara, Muhd Sujairi Abdullah kira-kira pada pukul 9.45 pagi dan turut disaksikan pemberita.

Bercakap dengan pemberita, Yusmadi berkata mereka menolak kenyataan kerajaan bahawa sidang Dewan Negara boleh menyebabkan risiko penularan Covid-19.

"Parlimen selamat untuk diadakan sidang sebab hampir 99 peratus (senator) telah divaksin.

"Kalau ikut penjelasan kerajaan sendiri, kami sudah capai imuniti kelompok.

"Kami percaya penangguhan ini bukan seperti yang diperkatakan (dijelaskan kerajaan) tetapi mungkin bermotifkan politik," katanya lagi.

Senator yang mewakili masyarakat Orang Asli, Manolan Mohamad pula berkata penangguhan tersebut menyebabkan dia tidak boleh membangkitkan isu berkaitan komuniti tersebut.

"Banyak perkara yang saya tidak boleh bangkitkan di Dewan Negara. Ini sangat mendukacitakan, lebih-lebih lagi sekarang orang Asli di luar bandar banyak terkesan dengan Covid-19.

"(Tetapi) saya tak boleh suarakan di Parlimen untuk dijawab menteri," katanya.

Menurut laman The Vibes, polis kemudian mengarahkan mereka untuk bersurai pada pukul 10.08 pagi.


Laporan tambahan oleh Annabelle Lee.