Skip to main
Logo Malaysiakini

Pesakit HIV didakwa rogol kekasih bawah umur

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang penghidap HIV didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan, hari ini, terhadap pertuduhan merogol remaja di bawah umur yang dipercayai kekasihnya, Mac lalu.

Tertuduh yang berusia 24 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol remaja 15 tahun tujuh bulan ketika kejadian dengan mengetahui bahawa dirinya menghidap penyakit HIV dalam sebuah kereta Perodua Kembara di Jalan Kampung Laut 1, dekat Tumpat, pada waktu malam sekitar Mac 2021.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (i) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (2) Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat.

Dalam prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar itu, pihak pendakwa raya tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana bimbang tertuduh menganggu mangsa yang kini sedang hamil lima bulan.

Namun tertuduh yang diwakili peguam bela, Mohd Khuzaimi Mohd Salleh memohon tertuduh diberi ikat jamin.

Bagaimanapun, Badrul Munir membenarkan tertuduh dijamin RM15,000 dengan seorang penjamin selain tidak dibenarkan mangsa diganggu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 17 November depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen laporan perubatan.