Skip to main
Logo Malaysiakini

PH: MP pembangkang ke parlimen untuk junjung titah Agong

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata, tindakan ahli-ahli parlimen mereka cuba memasuki parlimen semalam bertujuan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bagi membahas dan memutuskan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat.

Bagaimanapun Majlis Presiden PH berkata, mereka kesal apabila ahli-ahli parlimen pembangkang dihalang oleh pihak polis.

"Majlis Presiden Pakatan Harapan amat kesal dengan tindakan mengarah serta memperalat PDRM bagi menghalang ahli-ahli parlimen dari memasuki parlimen.

"Tindakan menghalang ahli-ahli parlimen ini adalah satu pelanggaran perintah yang telah dikeluarkan Dewan Rakyat kepada Ketua Polis Negara, berdasarkan usul Menteri Dalam Negeri bertarikh 13 Julai 2020 sewaktu permulaan mesyuarat kedua Penggal ke-3

"Sekali lagi kerajaan Perikatan Nasional telah menunjukkan inilah kerajaan yang telah mengingkari titah perintah Seri Paduka Baginda, tidak mengendahkan parlimen, dan melanggari Perlembagaan Persekutuan," kata mereka.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan pemimpin DAP, Lim Guan Eng.

Jelas mereka, parlimen masih dalam penggal ke-3 kerana tiada pewartaan proklamasi oleh Yang di-Pertuan Agong bagi memprorog penggal tersebut berdasarkan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan dengan itu PH meminta ahli-ahli parlimen membuat laporan polis bagi mengenal pasti mereka yang telah mengeluarkan arahan tersebut dan membawa mereka ke muka pengadilan.

"Tindakan mengugut dan menghalang ahli-ahli parlimen dari menjalankan kuasa-kuasa seorang ahli parlimen yang sah di sisi undang-undang melanggar Seksyen 124 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum tujuh tahun penjara atau denda," tambahnya.

Semalam seramai 107 ahli parlimen pembangkang dihalang memasuki parlimen susulan penangguhan persidangan khas Dewan Rakyat.

Kerajaan memberikan alasan penangguhan itu disebabkan penularan kes Covid-19 apabila parlimen bersidang minggu lalu.

Pihak polis mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lokasi menghala ke parlimen termasuk meletakkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi menghalang kemasukan ahli-ahli parlimen pembangkang.

Dalam pada itu PH juga menyatakan kesal dengan tindakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Harun membenarkan pelanggaran perintah Dewan Rakyat kepada Ketua Polis Negara berlaku.

Pada masa yang sama, kata mereka,  Azhar membenarkan ahli-ahli parlimen yang merupakan ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara memasuki parlimen.

"Beliau telah gagal melindungi dan mempertahan hak ahli-ahli parlimen dan mesti meletakkan jawatan," tegasnya.