Skip to main
Logo Malaysiakini

Risiko dan keberkesanan vaksin - Apa yang diketahui tentang varian Delta setakat ini

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PANDUANKINI | Hampir setahun sejak varian Delta wabak Covid-19 mula dikesan pada 7 September 2020. Sejak itu, varian itu terus menular di seluruh dunia.

Ia terbukti lebih bahaya berhanding varian sebelumnya - mencetukan penularan di India pada Februari dan kini sudah dikesan di sekurang-kurangnya 132 negara.

Banyak pengajaran, walau pahit, telah diraih daripada musuh bahaya ini, yang menyebabkan Pusat Pengendalian Penyakit AS (CDC) mengisytiharkan "perang sudah berubah".

Sementara pemahaman kita terhadap varian Delta masih berkembang, Panduankini kali ini akan cuba merangkumkan apa telah diketahui setakat ini.

Apakah varian Delta?

Varian Delta (juga dikenali sebagai B.1.617.2) adalah varian bagi virus SARS-CoV-2 yang berbeza dengan varian lain dalam beberapa mutasi utama.

Varian ini mula terbentuk pada 7 Sept tahun lalu, namun signifikannya tidak jelas sehinggalah beberapa bulan kemudian - ketika ia mencetuskan penularan di India bermula pertengahan Februari sehingga pertengahan Mei.

Mengakui ancaman yang dibawanya, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengklasifikasikannya sebagai Varian Yang Membimbangkan (VOC) pada Mei.

Ia merupakan varian yang paling mudah berjangkit setakat ini serta lebih berisiko meragut nyawa berbanding strain virus awal yang dikesan di Wuhan, China.

Selain itu, walaupun vaksin tetap memberikan perlindungan daripada varian ini, beberapa kemujaraban asalnya tidak lagi "berguna" apabila berdepan varian ini.

Sejauh mana ia tersebar di Malaysia?

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata varian Delta adalah virus Covid-19 yang dominan di negara ini tetapi setakat ini, tiada anggaran berkenaan sejauh mana ia telah tersebar.

Kementerian Kesihatan (KKM) memang kerap mengumumkan dapatan daripada usaha pemantauan genom yang dibuat - di mana penjujukan venom (genomic sequencing) digunakan untuk mengenal pasti varian yang terlibat dalam kes positif tertentu.

Dalam kemas kini terbaru pada 28 Julai, Noor Hisham berkata Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah membuat jujukan terhadap 10 sampel Covid-19 sejak 22 Julai.

Semua sampel menunjukkan ia merupakan kes varian Delta.

Ia tidak semestinya bermakna semua kes Covid-19 di Malaysia adalah daripada varian ini. Analisis lanjut diperlukan untuk membuat anggaran berdasarkan sejumlah kecil sampel yang telah dijujukkan.

 Semudah mana ia berjangkit?

Anggaran yang dibuat menunjukkan varian Delta 97 peratus lebih mudah berjangkit berbanding varian lain. Ia menjadikan varian Covid-19 yang paling pantas berjangkit pada masa ini.

Untuk perbandingan, anggaran sama yang diterbitkan jurnal Eurosurveillance pada bulan lalu menyatakan varian Alpha - yang juga sangat mudah berjangkit - hanya 29 peratus lebih mudah berjangkit berbanding varian bukan VOC/VOI (Varian Yang Perlu Mendapat Perhatian). Manakala varian Beta pula 25 peratus lebih mudah berjangkit.


 Anggaran perubahan kadar Rt untuk varian SARS-CoV-2 secara perbandingan dengan bukan-varian di 64 negara, sehingga 3 Jun 2021. Anggaran untuk setiap negara ditanda dengan warna kelabu, manakala anggaran bagi varian Delta dengan warna kuning.

Noor Hisham berkata, kadar kebolehjangkitan asas (R0) bagi varian Delta adalah antara lima hingga lapan - bermakna setiap 100 orang yang dijangkitinya akan menyebarkan virus ini kepada 500 hingga 800 orang lain. Kemudian, kitaran berulang dengan jumlah pengjangkit yang lebih ramai.

Difahamkan senario ini dengan anggaran tiada sebarang langkah diambil untuk melawannya.

Sebagai perbandingan, R0 ketika penularan di Wuhan sebelum perintah berkurung tahun lalu dianggar sekitar 2 hingga 2.5. Kadar lebih daripada 1.00 menandakan penularan yang kian pantas.

Kadar kebolehjangkitan Rt terbaru di Malaysia - dengan pelbagai langkah pencegahan dan imuniti - adalah 1.07.

Sementara itu, media Australia melaporkan satu kes jangkitan varian Delta di sebuah kompleks beli belah di Sydney. Melalui CCTV, pihak berkuasa mendapati dua individu yang terlibat hanya berselisih untuk waktu yang singkat.

"Ia hanya dua individu yang berselisih. Mereka jelas berdepan antara satu sama lain tetapi mereka hanya berselisih, dalam kedudukan rapat tetapi sejenak saja," kata ketua pegawai kesihatan New South Wales Kerry Chant seperti dipetik ABC.

Laporan itu tidak menyebut jika individu terlibat memakai pelitup muka - yang hanya diwajibkan beberapa hari selepas insiden itu.

Terbaru, satu kajian - yang belum dinilai secara rasmi oleh pakar lain - menemui petunjuk berkenaan bagaimana varian Delta begitu mudah tersebar.

Penyelidik melaporkan, selepas kontak rapat dengan pesakit varian itu, mereka yang baru berjangkit disahkan positif menerusi ujian RT-PCR kira-kira empat hari kemudian, berbanding kira-kira enam hari untuk kes dalam kajian tahun lalu.

Tambahan pula, individu ini membawa 1,260 kali lebih banyak virus di hidung dan tekak berbanding mereka yang dijangkiti varian terdahulu.

Satu kajian di Singapura bukan saja mendapati jumlah virus yang lebih tinggi dalam pesakit Delta, tetapi virus tersebut kekal tinggi selama 18 hari, berbanding 13 hari untuk varian bukan VOC.

Dalam kata lain, mereka yang dijangkiti dengan varian ini lebih pantas mudah menjangkiti orang lain dan mereka berisiko "melepaskan" lebih banyak partikel virus di persekitaran dan untuk tempoh masa lenbih lama - jika dapatan daripada kajian ini disokong oleh kajian lanjutan.

Mereka yang sudah divaksin penuh juga tidak terlepas. Walaupun kemungkinan untuk mereka dijangkiti lebih rendah, tetapi jika mereka didapati positif, mereka juga akan lebih mudah menjangkiti orang lain - sama seperti orang yang belum menerima vaksin.

Menurut laporan yang diterbitkan CDC pada Jumaat lalu, individu yang sudah divaksin penuh memiliki jumlah virus yang sama tinggi dengan individu yang belum divaksin, atau baru menerima satu dos.

Ia jauh berbeza dalam kajian sebelum ini melibatkan varian lain, di mana mereka yang baru menerima satu dos didapati kurang kebarangkalian untuk menyebarkan wabak ini.

Adakah varian Delta lebih bahaya?

Ya, dan dalam pelbagai aspek. Hakikat bahawa ia lebih mudah tersebar bermakna ia berisiko tinggi untuk menjejaskan sistem kesihatan.

Ini sahaja kaan menyebabkan mutu penjagaan terhadap semua orang terjejas - sama ada mereka dijangkiti Covid-19 atau tidak.

Sementara itu, beberapa kajian mendapati varian Delta dikaitkan dengan peningkatan risiko untuk dimasukkan ke hospital, ICU dan kematian.

Anggaran di bawah perlu dianggap sebagai anggaran awal kerana setiap kajian melibatkan jumlah yang kecil dan mungkin belum menjalani penilaian (peer review).

Pihak berkuasa kesihatan di England menganggarkan 126 peratus peningkatan dalam risiko memerlukan rawatan hospital dalam tempoh 14 hari didapati positif untuk pesakit varian ini berbanding pesakit varian Alpha.

Di Scotland, risiko memerlukan rawatan di hospital dianggarkan 85 peratus lebih tinggi jika dibandingkan dengan varian Alpha.

Di Singapura, pesakit varian Delta dianggarkan 88 peratus lebih brisiko untuk memerlukan bantuan pernafasan, dimasukkan ke ICU, atau meninggal dunia berbanding pesakit varian bukan VOC.

Di Kanada, varian ini didapati meningkatkan risiko memerlukan rawatan hospital sebanyak 120 peratus, 287 peratus untuk rawatan di ICU, dan 137 peratus untuk risiko kematian - jika dibandingkan dengan varian bukan VOC.

Bagaimana untuk menghalangnya?

Kaedah mencegah jangkitan Covid-19 tidak banyak berubah sejak kemunculan varian Delta. Pada masa sama, velta ini lebih mudah dalam "menggunakan" sebarang kekurangan atau kelemahan dalam kaedah ini.

Kaedah ini termasuklah penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, kerap membasuh tangan dan pengudaraan yang baik.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Dosh) dalam garis panduannya menggesa pengurus bangunan di kawasan awam untuk "memaksimumkan pengudaraan" dan "meminimumkan kitaran semula udara di tempat tertutup". Garis panduan juga disediakan kemudahan perubatan, kawasan kediaman dan bukan kediaman.

Sementara itu, WHO mengesyorkan kadar pengudaraan sebanyak 10 liter per saat bagi setiap individu di dalam satu ruang tertutup. Jika ia sukar dicapai, beberapa pendekatan boleh digunakan seperti menggunakan alat penapis udara.

Sementara itu, pemakaian pelitup muka yang betul tetap mengehadkan jumlah partikel berjangkit yang disebarkan oleh individu positif. Ia sangat penting memandangkan individu tanpa gejala tidak sedar dia membawa bahaya kepada orang lain.

Ia juga mengurangkan pendedahan terhadap partikel berjangkit dengan menapis udara.

CDC AS mengesyorkan pelitup muka yang bermutu lebih tinggi, antaranya yang menepati piawaian KN95. Pada masa sama, ia tetap berpendirian pelitup muka N95 perlu dikhususkan kepada pekerja kesihatan.

Ia juga mencadangkan beberapa langkah untuk menambah baik langkah ini, dengan mengetatkan pelitup muka, pemakaian satu lagi pelitup muka yang diperbuat daripada kain serta pemakaian pendakap pelitup muka.

Jika semua langkah ini gagal, vaksin akan bertindak sebagai benteng terakhir terhadap virus ini.

Sejauh mana keberkesanan vaksin dalam melawan varian Delta?

Berkenaan pencegahan untuk semua gejala Covid-19, secara umumnya keberkesanan vaksin sedikit berkurang terhadap varian Delta tetapi perlindungan lain yang diberikannya tetap signifikan.

Tambahan pula, tahap keberkesanan vaksin kekal di tahap asal dalam menghalang akibat paling buruk wabak ini - rawatan di hospital dan kematian.

Bagi vaksin Pfizer, kajian di Kanada, England dan Scotland menunjukkan anggaran perlindungan sebanyak 83 hingga 88 peratus terhadap jangkitan bergejala. Bagaimanapun kajian di Israel menghasilkan anggaran yang lebih rendah iaitu 64 peratus.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan Israel berkata keberkesanan vaksin kekal di tahap 93 peratus dalam menghalang sakit yang serius dan keperluan rawatan di hospital. Public Health England (PHE) pula menganggarkan tahap keberkesanan dalam aspek itu pada kadar 96 peratus.

Bagi vaksin AstraZeneca, PHE menganggarkan ia 67 peratus berkesan melawan gejala varian Delta dan 92 peratus untuk mengelakkan rawatan hospital. Pihak berkuasa kesihatan di Scotland pula menganggarkan perlindungan 61 peratus terhadap jangkitan bergejala.

Setakat ini, tiada data berkenaan keberkesanan vaksin Sinovac terhadap varian Delta tetapi pengeluarnya memberi jaminan ia tetap berkesan.

"Ia ada keberkesanan lebih 90 peratus terhadap jangkitan yang teruk dan rawatan di hospital. Kami juga dapati kadar jangkitan selepas vaksinasi adalah sangat rendah di negara-negara ini, dan dalam banyak kes gejala sangat ringan," kata seorang jurucakap seperti dipetik Bernama.

"Walaupun ada pengurangan dalam kesan peneutralnya, vaksin Sinovac pada masa ini (CoronaVac) kekal berkesan terhadap varian Delta," katanya lagi.

Perlu dimaklumkan yang keberkesanan vaksin yang lebih rendah dan tahap berjangkit yang lebih tinggi adalah faktor yang meningkatkan jumlah orang yang perlu divaksin untuk mencapai imuniti kelompok.

Adakah sudah tiba masa untuk dos ketiga?

Terpulang kepada siapa yang anda tanyakan soalan ini. Kebanyakan pakar akan setuju bahawa lebih lama wabak ini menular, lebih tinggi keperluan untuk dos ketiga bagi menguatkan sistem umun badan. Tapi persoalannya: Bila?

Sebahagian daripada masalah - menurut artikel yang diterbitkan The Atlantic pada 24 Jun - adalah tiada konsensus berhubung apakah yang menandakan peningkatan membimbangkan dalam kes-kes yang mengundang perhatian (breakthrough) - misalnya jangkitan terhadap individu yang sudah divaksin penuh, terutama jika mereka menunjukkan gejala - yang menandakan sudah tiba masanya untuk dos ketiga.

"Sebaliknya, pakar perlu menentukan sendiri penanda aras untuk dos penggalak ini, dengan menilai maklumat yang ada berkenaan tahap antibodi, breakthrough, pemantauan varian, dan tahap perbezaan versi-versi virus dalam ujikaji makmal dan pada haiwan, dan pada masa sama sentiasa beringat tentang perkembangan wabak di peringkat setempat dan juga global.

"Semua maklumat ini kemudian digunakan dalam analisis manfaat-risiko, untuk menentukan jika keperluan dos penggalak mengatasi kemungkinan kos - ia isu perubatan dan juga ekonomi," menurut laporan itu yang memetik Dr Grace Lee, penasihat CDC dalam soal vaksin.

Setakat ini, Pfizer paling lantang berhubung keperluan suntikan tambahan dan telah memohon kebenaran Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat untuk berbuat demikian.

AstraZeneca dan Sinovac masih meneroka keperluannya. Bagaimanapun, sekumpulan penyelidik Sinovac di Chile telah mencadangkan dos ketiga diberikan.

Selain itu, isu jurang vaksin juga perlu diambil kira - WHO telah mengkritik negara-negara kaya yang telah menempah lebih banyak dos di saat ada negara yang tidak cukup vaksin untuk diberikan kepada pekerja kesihatan mereka.

Pertimbangan ini bukan bersifat altruistik semata-mata. Ada kebimbangan bahawa jika sejumlah besar orang - di mana-mana sahaja - tidak divaksin, ia akan mewujudkan "tanah yang subur" untuk kemunculan varian baru yang akhirnya mengancam seluruh dunia.

Akhirnya, bergantung kepada pihak kesihatan di setiap negara untuk meluluskan dos tambahan atau tidak, bukannya sekumpulan penyelidik atau eksekutif di syarikat farmaseutikal.

[Baca berita asal]