Skip to main
Logo Malaysiakini

Kedudukan Muhyiddin goyang? - Tumpuan pada mesyuarat kabinet PN

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tumpuan politik mutakhir menyorot pada mesyuarat kabinet hari ini ketika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berusaha untuk mempertahankan kekuasaannya yang dilihat goyah berikutan penarikan sokongan terhadapnya oleh lebih 10 ahli parlimen Umno.

Muhyiddin sendiri kini sedang menghadap Yang di-Pertuan Agong yang merupakan amalan rutin sebelum mesyuarat kabinet. 

Kebiasaannya, Muhyiddin akan ditemani tokoh penting lain seperti Peguam Negara Idrus Harun yang keretanya dilihat memasuki perkarangan Istana pagi ini.

Pertemuan Muhyiddin hari ini, selepas kenyataan Istana Negara memaklumkan Agong "amat dukacita" dengan cara pembatalan Ordinan Darurat sebelum parlimen bersidang dan menegur Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan "mengelirukan Dewan Rakyat."

Mesyuarat kabinet dijangka bermula pada tengah hari, lebih lambat dari biasa, menurut sumber.

Memandangkan penarikan sokongan ahli parlimen Umno, Anggota Majlis Tertinggi Umno Ahmad Shabery Cheek memberikan beberapa kemungkinan yang berlaku dalam pertemuan dengan AGong pagi ini.

Katanya, Muhyiddin mungkin memutuskan untuk meletak jawatan atau kekal sebagai perdana menteri sementara sehingga pilihan raya umum dapat diadakan, atau menerajui kerajaan minoriti.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang pula bekata sidang parlimen perlu diadakan selewat-lewatnya pada 16 Ogos depan, untuk Muhyiddin membatalkan Ordinan Darurat dan membuktikan majoriti sokongan di Dewan Rakyat.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, pada sidang media yang diadakan selepas mesyuarat majlis tertinggi parti petang semalam, mengumumkan keputusan menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.

Umno juga telah menyerahkan surat akuan “yang mencukupi” kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menzahirkan keputusan berkenaan.

Ahmad Zahid berkata ia sekali gus menunjukkan kepimpinan Muhyiddin sudah hilang majoriti dan keabsahannya sebagai ketua kerajaan.

Berikut senarai 11 anggota parlimen yang menarik sokongan, termasuk Zahid:

  1. Najib Abdul Razak (Pekan)
  2. Azalina Said Othman (Penggerang)
  3. Mohd Nizar Zakaria (Parit)
  4. Azeez Abdul Rahim (Baling)
  5. Noh Omar (Tanjung Karang)
  6. Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk)
  7. Ahmad Nazlan Idris (Jerantut)
  8. Ahmad Jazlan Yaakub (Machang)
  9. Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang)
  10. Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands)
  11. Ahmad Maslan (Pontian)

Sumber memberitahu Malaysiakini jumlah ahli parlimen Umno ini boleh meningkat menjadi 14 orang, apalagi Ahli Parlimen Lenggong, Shamsul Anuar Nasarah telah meletak jawatan sebagai menteri tenaga dan sumber asli dalam kabinet PN.

Menurut sumber, mungkin lebih ramai lagi menteri akan mengundurkan diri.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Umno, Zahidi Zainul Abidin, yang juga timbalan menteri komunikasi dan multimedia, mendakwa "kerajaan PN tetap utuh."

Dia bekata demikian kepada wartawan di Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur selepas pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob bersama Ahli Parlimen Umno yang berpihak PN, yang berakhir hampir jam 2 pagi tadi.