Skip to main
Logo Malaysiakini

Pekerja rumah kebajikan didakwa rogol, amang seksual penghuni kanak-kanak

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang pekerja am rumah kebajikan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual dan merogol seorang penghuni kanak-kanak perempuan, empat bulan lepas.

Sai Kim Kok, 42, didakwa melakukan perbuatan tersebut ke atas kanak-kanak berusia 10 tahun di sebuah rumah kebajikan di Taman Century di Johor Bahru pada Mei tahun ini.

Bagi tiga pertuduhan amang seksual, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan merogol pula, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan hendaklah dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Chan Choon Yew memohon mahkamah agar tertuduh tidak dikenakan sebarang jaminan memandangkan mangsa masih menghuni di rumah kebajikan tersebut yang merupakan tempat tertuduh bekerja.

“Tertuduh adalah orang yang diamanahkan menjaga kanak-kanak di rumah kebajikan tersebut, apa yang merisaukan adalah, sekiranya tertuduh diberikan jaminan akan mengganggu dan memberikan trauma kepada mangsa,” katanya.

Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan atas alasan perlu menanggung seorang anak.

Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob memutuskan tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin dan menetapkan 22 Sept tahun ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

“Rumah kebajikan ramai kanak-kanak dan mangsa berumur 10 tahun.

"Kes ini amat serius dan kami memandang berat kerana anda telah diberikan amanah untuk menjaga, dikhuatiri akan mengambil peluang terhadap kanak-kanak lain. Justeru itu, mahkamah tidak membenarkan jaminan,” kata hakim.

- Bernama