Skip to main
Logo Malaysiakini

Muak dengan krisis politik di saat wabak, lelaki mogok lapar tuntut 5 perkara

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Muak dengan krisis politik yang dilihat akan terus berlanjutan sehingga September ini, di saat kematian akibat Covid-19 kian meningkat, seorang lelaki memutuskan untuk mogok lapar sehingga lima tuntutannya dipenuhi.

Nathaniel Tan, yang merupakan seorang perunding komunikasi strategik, memuat naik lima desakan itu di laman Facebooknya hari ini.

Hantaran tersebut setakat ini telah dikongsi sebanyak 450 kali.

"Saya memulakan mogok lapar. Lima tuntutan. Ini masanya untuk bertindak. Cukuplah dengan bercakap, kenyataan media, perbualan di WhatsApp.

"Mahatma Gandhi menundukkan empayar British tanpa menembak walau sebutir peluru. Dia ikut dua prinsip mudah: Tidak menyerah dan juga tidak merosakkan.

"Mungkin kita tak boleh capai apa yang dicapainya (atau mungkin boleh), tapi kita boleh buat apa yang dilakukannya," kata Tan.

Berikut adalah lima tuntutan yang dinyatakannya:

1. Kuasa membuat keputusan berhubung soal Covid-19 diletakkan sepenuhnya di tangan pakar, atau jika gagal berbuat demikian, melakukan sidang Parlimen segera.

2. Menyediakan RM500 juta untuk peralatan di hospital yang merawat pesakit Covid-19. Dana tersebut tidak boleh melalui birokrasi hospital, dan doktor di wad perlu diberi kebebasan untuk menyenaraikan peralatan yang diperlukan tanpa bimbang dengan tindak balas.

3. Membenarkan setiap petugas barisan depan untuk mendedahkan keadaan sebenar di lapangan tanpa risau dengan tindak balas dan tapisan, dan untuk menerbitkan semua data berkaitan wabak tanpa sekatan.

4. Menerbitkan senarai penuh syarikat yang masih dibenarkan operasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Terlalu banyak cerita tentang majikan yang memaksa pekerja datang bekerja, walau mereka boleh lakukannya di rumah. Terlalu banyak kilang (beroperasi)," katanya.

5. Pelitup muka N95 dan pencuci tangan dibekalkan secara percuma di hospital dan balai polis.

Tan berkata, doktor, jururawat dan polis mengambil risiko nyawa dalam menjalankan tugas tetapi mereka tidak dibekalkan dengan pelitup muka N95 dan pencuci tangan secara percuma.

'Tidak banyak dilakukan sehingga kini'

Di saat ada ramai berduka di atas kehilangan ahli keluarga akibat Covid-19, tidak banyak yang telah dilakukan, kata Tan lagi.

"Jika ada perang dan kita bertindak seolah-olah tiada apa-apa yang terjadi, semakin ramai yang menjadi korban.

"Dan sekarang, pemimpin kita mahu mengheret krisis mereka sehingga September, pastinya memanjangkan lagi ketidakcekapan mereka dalam menangani krisis Covid-19 yang kini telah membawa hampir 10,000 kematian.

"Dengan 19,819 kes baru hari ini, mungkin 10,000 lagi nyawa rakyat terkorban menjelang September. Ini tidak boleh diterima," katanya lagi.

Sementara dia secara peribadi tidak menggalakkan perhimpunan massa atau apa saja yang mendedahkan risiko jangkitan, Tan berkata dia boleh melakukan apa yang boleh dilakukan "mana-mana rakyat Malaysia".

"Saya akan keluar dari rumah dan duduk di satu sudut (di jalan). Saya akan lakukan yang terbaik untuk kekal di situ dan tidak makan sehinggalah lima tuntutan dipenuhi.

"Kita perlukan perubahan. Saya tidak boleh lagi duduk dan hidup seperti biasa di saat ramai yang mungkin terkorbn akibat kecuaian dan ketidakcekapan," katanya lagi.

Hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata dia masih memiliki majoriti sokongan ahli parlimen dan akan membuktikan keabsahannya menerusi undi percaya di Parlimen pada September ini.

Ia selepas pengumuman Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa terdapat "cukup" ahli parlimen parti itu yang menarik balik sokongan terhadapnya, semalam.

Hari ini, semua parti pembangkang menggesa undi percaya itu dibuat segera, dan bukannya ketika Parlimen bersidang September ini.