Adun Pelabuhan Klang kesal 'kartel jenazah Covid-19' ambil kesempatan
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri menyatakan kekesalannya berhubung kegiatan 'kartel jenazah Covid-19' yang dikatakan mengambil kesempatan ke atas waris si mati.
Dalam kenyataan di Facebook semalam, Azmizam berkata pihak Jabatan Islam Selangor (Jais) telah mengumumkan pengurusan jenazah secara percuma kepada Jenazah Covid-19 di seluruh Selangor pada 16 Julai dan 28 Julai lalu.
Namun, katanya, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab telah mengenakan bayaran sebanyak RM700 hingga RM1,800 kepada waris si mati hanya untuk tayammum di atas beg mayat pada bahagian muka dan kedua tangan si mati serta solat jenazah.
"Beg mayat yang menggantikan kain kafan dan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) adalah disediakan secara percuma oleh pihak hospital di seluruh Selangor.
"Urusan tersebut hanya mengambil masa selama 15 minit sahaja dan mudah dikendali daripada pengurusan jenazah biasa.
"Mereka hanya perlukan keberanian, semangat yang kuat, ketahanan mental dan kesanggupan memakai PPE di bawah cahaya terik matahari serta cabaran risiko jangkitan," katanya.
Tambahnya lagi, kartel jenazah Covid-19 ini mengambil kesempatan dengan menyantuni waris yang berada dalam keadaan emosi terganggu dan hanya mengharapkan jenazah orang yang disayangi dikebumi segera.
"Mohon pihak Jais siasat dan segera hentikan aktiviti Kartel Jenazah Covid-19 ini di Selangor yang saya yakin pihak Jais sedia maklum tentang perkara tersebut.
"Kegiatan ini semakin berleluasa semenjak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan perkhidmatan secara percuma tetapi hanya disebabkan tidak bernaung di bawah Jais telah tidak dibenarkan untuk urus jenazah Covid-19 di Selangor," ujarnya.
Menurut Azmizam, Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang diberi peluang oleh pihak Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) telah memberikan perkhidmatan ini secara percuma dan telah berjaya mengurus seramai 185 jenazah Covid-19 sejak 18 Mei, sebelum diambil alih sepenuhnya oleh Jais bermula 1 Ogos.
"Hanya duit kubur saja yang dibayar waris kerana ianya bukan di bawah kawalan UKVJ tetapi ada juga yang dibantu oleh pihak UKVJ untuk membayar bayaran tersebut sekiranya waris terdiri dari golongan asnaf," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai