Skip to main
Logo Malaysiakini

Sokongan majoriti: Muhyiddin tak bercakap benar, kelirukan Agong - PH

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PH menggesa tindakan diambil terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang didakwa gabungan itu telah mengelirukan Yang di-Pertuan Agong berhubung jumlah ahli parlimen yang menyokongnya.

Ia susulan pengumuman Muhyiddin semalam yang mendakwa dia masih memiliki majoriti sokongan di Dewan Rakyat

PH juga menggesa badan penguatkuasa agar terus bertindak neutral dan tidak "mengikut selera ahli politik parti pemerintah" untuk menekan ahli parlimen agar menukar sokongan.

"Setelah pimpinan PH membuat perkiraan yang teliti bersama rakan dari parti-parti pembangkang dan semua yang tidak menyokong Muhyiddin, ternyata dia tidak bercakap benar dan telah mengelirukan Yang di-Pertuan Agong sewaktu sesi menghadap semalam.

"Ini adalah satu tindakan penderhakaan tertinggi terhadap ketua utama negara dan tidak patut dimaafkan," kata Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Semalam, Muhyiddin turut berkata dia sedia menguji tahap sokongannya menerusi undi percaya di Dewan Rakyat dalam sidang September ini.

Pengumuman Muhyiddin itu sehari selepas Umno menarik balik sokongan terhadap PN dan mendakwa kerajaan sudah hilang keabsahannya.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, dia telah menyerahkan surat akuan "yang mencukupi" kepada Agong bagi membuktikan parti itu tidak lagi menyokong PN.

Kata PH lagi, tindakan tegas mesti diambil terhadap "penipuan tahap tertinggi" yang dibuat Muhyiddin sehingga "sanggup tidak bercapa benar dan mengelirukan" Agong.

Berhubung undi percaya, PH berkata ia mesti dibuat sekarang kerana selagi ia tidak dibuat, isu kestabilan dan keberkesanan kerajaan tidak dapat diselesaikan.

"Majlis Presiden PH mengulangi pendirian kami serta semua parti dalam blok Pembangkang termasuk ahli parlimen yang telah menarik sokongan terhadap Muhyiddin, iaitu mendesak diadakan sidang khas Parlimen pada Isnin, 9 Ogos untuk memutuskan isu ini.

"Kami turut memohon agar semua penjawat awam terutama badan penguatkuasa terus bertindak secara profesional, neutral, dan tidak sesekali mengikut selera politik parti pemerintah sekarang untuk menekan atau mengugut ahli parlimen khususnya dalam hal sokongan terhadap Muhyiddin," kata Majlis Presiden PH lagi.