Segerakan kes rasuah, rakyat sudah muak - sultan
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah menyeru agar perbicaraan kes-kes rasuah disegerakan dan mahkamah tidak melayani penangguhan kes tanpa alasan yang kukuh kerana rakyat sudah muak dan bosan melihat pendakwaan yang berlarutan terlalu lama.
Menurut hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin turut menyasarkan agar gejala rasuah di Selangor dapat dibanteras sepenuhnya supaya ia tidak menjadi masalah yang lebih besar dan boleh memudaratkan generasi masa hadapan serta merosakkan masyarakat.
Titah itu dibuat kerana kebimbangan baginda berhubung peningkatan yang tinggi membabitkan kes-kes rasuah khususnya di Selangor selepas berkenan menerima menghadap dan mendengar taklimat daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki di Istana Bukit Kayangan, di Shah Alam hari ini.
“Baginda menzahirkan kebimbangan dengan perkembangan terbaharu ini dan berharap agar SPRM dapat melakukan siasatan yang telus dan teliti, supaya pelaku yang dihadapkan ke mahkamah tidak terlepas dengan mudah,” menurut kenyataan itu.
Turut berangkat pada pertemuan selama dua jam itu ialah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai