Skip to main
Logo Malaysiakini

Adham: Doktor sertai hartal di Perlis takkan dikenakan tindakan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba menafikan tindakan tatatertib akan diambil terhadap doktor junior kontrak yang menyertai Hartal Doktor Kontrak (HDK) di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Dia berkata demikian bagi mengulas kebimbangan berhubung sepucuk surat yang menjadi tular di media sosial, yang dikatakan dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Perlis.

Surat berkenaan meminta pihak hospital mengeluarkan laporan dan senarai doktor junior yang mengambil bahagian dalam protes pada 26 Julai lalu.

"Arahan telah pun dimaklumkan kepada semua PKN (pengarah kesihatan negeri) untuk tidak mengambil tindakan," kata Adham kepada Malaysiakini dalam satu pesanan teks.

"Makluman yang saya terima tiada tindakan yang telah diambil kepada peserta hartal," katanya.

Dia merujuk kepada surat yang dikatakan dikeluarkan oleh timbalan pengarah kesihatan negeri, Dr Mohamad Zamri Kamis kepada pengarah hospital itu 29 Julai.

"Seperti pihak tuan sedia maklum, terjadi 1 demonstrasi Hartal Doktor Kontrak di Hospital Tuanku Fauziah pada 26 Julai 2021. Oleh demikian, pohon pihak tuan untuk menyerahkan laporan demonstrasi tersebut kepada pengarah kesihatan negeri Perlis berserta dengan nama pegawai perubatan yang terlibat pada hari tersebut sebelum atau pada 6 Ogos 2021," menurut surat berkenaan yang dilihat oleh Malaysiakini.

Usaha Malaysiakini untuk mendapatkan respons daripada Zamri dan pengarah kesihatan negeri, Dr Sirajuddin Hashim tidak berjaya buat masa ini.

Pada 26 Julai lalu, ratusan doktor junior kontrak di seluruh negara menyertai hartal untuk menuntut jaminan pekerjaan dan peluang kerjaya yang lebih baik walaupun pihak atasan mengancam akan mengambil tindakan tatatertib ke atas mereka kerana mengambil bahagian dalam protes berkenaan.

Ini menimbulkan kebimbangan sekiranya tindakan disiplin akan diambil terhadap doktor junior yang terlibat dalam protes berkenaan.

Doktor kontrak junior kerajaan menghadapi risiko kehilangan kerja setelah tamat latihan selama lima tahun di hospital kerajaan.

HDK mengatakan mereka tidak menerima faedah tertentu berbanding jawatan tetap, termasuk peluang untuk mengembangkan karier mereka dalam bidang pengkhususan.

Pihak polis dan menteri kesihatan mengatakan tiada tindakan akan diambil terhadap para doktor berkenaan.