Skip to main
Logo Malaysiakini

Nazri takkan jawab surat nyata pendirian diberi Umno

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Abdul Aziz enggan melayan surat yang dihantar oleh Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, yang menuntut semua ahli parlimen parti itu menyatakan pendirian mereka terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketika dihubungi semalam, Nazri berkata, dia tidak akan membalas surat yang dilaporkan dihantar oleh Ahmad kepada semua ahli parlimen Umno berhubung pendirian mereka berhubung mengenai majlis tertinggi parti itu.

“Saya tidak akan jawab surat tersebut kerana saya tidak melakukan sebarang kesalahan," kata Nazri kepada Malaysiakini.

Astro Awani sebelum ini memetik portal dalam talian Suara TV mengenai kandungan surat itu yang meminta ahli-ahli parlimen Umno menyatakan pendirian mereka mengenai sama ada menarik balik sokongan dan meletakkan  jawatan dalam kerajaan; atau untuk terus menyokong dan kekal dengan jawatan mereka.

Nazri menyifatkan surat itu sebagai surat tunjuk sebab kerana ahli parlimen diberikan tarikh akhir untuk membalasnya.

"Ini adalah surat tunjuk sebab kerana kami perlu membalasnya menjelang 7 Ogos.

"Yang sepatutnya diberi surat tunjuk sebab adalah Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana beliau jelas melanggar keputusan Perhimpunan Agung Umno 2020,"  katanya merujuk rakaman audio yang dikatakan perbualan antara Ahmad Zahid dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang menjadi tular awal tahun ini.

Ahmad Zahid dan Anwar menafikan suara mereka dalam perbualan telefon selama empat minit itu yang dikatakan berlaku selepas perhimpunan agung Umno.

Semalam Umno dilaporkan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Ahli Parlimen Maran, Ismail Abdul Mutalib, yang juga timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan setelah dia memilih untuk menyokong kerajaan PN dan Muhyiddin Yassin

Pada Selasa lalu, seramai 11 ahli parlimen Umno .diketuai Ahmad Zahid membuat pengumuman untuk menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin. 

Pada masa yang sama sebahagian ahli parlimen Umno yang lain kekal menyokong PN dan mereka diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Lenggong, Shamsul Anuar Nasarah, pada hari yang sama meletakkan jawatan sebagai menteri tenaga dan sumber asli, manakala Naib Presiden Umno, Khaled Nordin dan anggota Majlis Tertinggi Umno, Razlan Rafii melepaskan jawatan mereka dalam syarikat berkaitan kerajaan.