Felda didakwa langgar SOP dengan pertemuan secara bersemuka
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) didakwa mengadakan pertemuan secara fizikal antara wakil-wakilnya dari pelbagai negeri sekali gus melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Beberapa pertemuan secara fizikal melibatkan peneroka dan kakitangan Felda diadakan, kata sumber yang enggan mendedahkan identitinya itu kepada Malaysiakini.
Menurut sumber tersebut, beberapa belas orang hadir bagi setiap pertemuan tersebut, dan satu daripadanya didakwa turut melibatkan makan tengah hari di Menara Felda, Kuala Lumpur.
Sumber itu berkata dia bersuara mengenai perkara berkenaan kerana bimbang dengan keselamatan kakitangan Felda dan peneroka yang hadir, memandangkan terdapat kakitangan agensi itu yang dijangkiti Covid-19.
Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dakwaan sesi makan tengah hari di Menara Felda yang melibatkan peneroka dari negeri lain, atau status Covid-19 kakitangan di syarikat tersebut.
Sementara itu Pejabat Perhubungan Awam Felda dan Pengerusi Felda, Idris Jusoh, enggan menjawab pertanyaan Malaysiakini.
Bagaimanapun, semakan di pelbagai laman media sosial Felda wilayah mendapati agensi itu mengadakan beberapa sesi penerangan secara bersemuka untuk golongan peneroka di pelbagai negeri, termasuk Pahang dan Terengganu beberapa minggu lalu.
Negeri-negeri terbabit berada di Fasa 2 PPN dan mengikut SOP yang dikeluarkan kerajaan, semua perjumpaan mesti dilakukan secara dalam talian. Sebarang pertemuan termasuk seminar secara bersemuka adalah tidak dibenarkan.
Sesi penerangan tersebut adalah sebahagian daripada usaha negara untuk memberi taklimat kepada golongan peneroka mengenai program Felda dalam menyelaraskan hutang tertunggak peneroka dengan agensi terbabit.
Sehingga 3 Julai, 77,565 peneroka telah mendaftar ke program itu.
Felda berkata, peneroka yang tidak tinggal di kawasan mereka boleh membuat janji temu untuk pertemuan secara fizikal bagi menandatangani dokumen, manakala bagi mereka yang tidak dapat berbuat demikian boleh menghantarnya melalui pos.
Video-video tersebut dimuat naik di pelbagai halaman Facebook bahagian wilayah Felda yang menunjukkan bahawa sesi penerangan itu diadakan bersama kumpulan kecil peneroka, sementara yang lain diadakan secara bersemuka.
Para hadirin memakai pelitup muka dalam semua pertemuan dalam video tersebut.
Satu sesi penerangan yang diadakan di Felda Mempaga, Pahang, dihadiri oleh Timbalan Pengarah Felda, Amir Hamdan Yusof.
Menurut hantaran Facebook oleh Felda Wilayah Mempaga, sesi penerangan itu "dijalankan dengan pematuhan SOP" di pejabat Mempaga 01, 02 dan 03.
Bagaimanapun, Pahang berada di Fasa 2 PPN dan semua pertemuan secara fizikal dilarang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai