Skip to main
Logo Malaysiakini

Peguam rugi hampir RM260,000 ditipu Macau Scam

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang peguam kerugian RM259,900 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa kononnya lelaki itu terlibat dalam kes dadah di samping mempunyai tunggakan cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), di George Town dua hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang ACP Mohd Rosni Mohd Lazim berkata peguam berusia 40 tahun dan mempunyai pejabat guaman di Bukit Mertajam, dekat George Town itu mendakwa ia bermula apabila dia menerima panggilan telefon daripada seseorang yang mengaku sebagai pegawai daripada LHDN.

Menurutnya suspek mendakwa kononnya peguam itu mempunyai tunggakan cukai RM32,000, sebelum kemudiannya panggilan itu disambungkan kepada lelaki mengaku kononnya pegawai polis, yang memberitahu kononnya peguam itu terlibat dengan kes jenayah.

Bercakap kepada pemberita ketika dihubungi hari ini beliau berkata peguam yang ketakutan dan bimbang ditahan polis itu kemudiannya mengikut arahan suspek dengan melakukan pindahan wang secara berperingkat berjumlah RM259,900 ke tiga akaun berbeza, sebelum gagal menghubungi semula "pegawai polis" berkenaan.

Mohd Rosni berkata peguam itu kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian, semalam, dan semakan ke atas tiga nombor akaun yang digunakan suspek untuk mangsa memindahkan wang itu dipercayai ia milik keldai akaun.

"Setakat ini tiada laporan polis ke atas tiga nombor akaun itu, namun nombor telefon yang digunakan sindiket bersangkut tiga laporan di Dato Keramat dan Bukit Mertajam serta Nilai, Negeri Sembilan," katanya dan menambah kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

- Bernama