Skip to main
Logo Malaysiakini

Memo gangguan ubat di HRPM cuma untuk edaran dalaman

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Memo gangguan bekalan stok ubat akibat wabak Covid-19 dikeluarkan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh yang tular merupakan makluman dalaman sebagai persediaan awal dengan disusuli tindakan yang terancang bagi mengatasi masalah tersebut.

Pengarah HRPB Dr Abdul Malek Osman berkata memo berkenaan dikeluarkan untuk edaran dan makluman ketua-ketua jabatan HRPB Ipoh sahaja berkaitan gangguan ubat-ubatan di peringkat global dalam mengelakkan putusnya perawatan pesakit.

“Permintaan penggunaan ubat yang tinggi untuk rawatan pesakit Covid-19 di seluruh dunia telah menyebabkan sebahagian besar ubat-ubatan untuk rawatan Covid-19 meningkat secara mendadak sejak Mei lepas, iaitu dalam kadar enam hingga 11 bulan peningkatan kuantiti penggunaan daripada kebiasaan.

“Bagaimanapun, bekalan ubat-ubatan ini tidak terputus sepenuhnya, sebaliknya dibekalkan secara berperingkat untuk memenuhi keperluan perolehan,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh hari ini.

Abdul Malek berkata pihak hospital komited memastikan situasi itu dipantau berterusan dan sebarang isu diselesaikan dengan sebaiknya.

“Pelbagai usaha dilakukan oleh pihak kementerian untuk mengatasi masalah ini seperti membuat perolehan darurat, bekerjasama dengan pembekal-pembekal kontrak untuk mencari sumber-sumber alternatif dan berbincang dengan ketua pakar penyakit berjangkit berhubung ubat-ubat alternatif lain yang dapat digunakan untuk memastikan kesinambungan rawatan kepada pesakit dapat diteruskan,” katanya.

Isu mengenai memo HRPB berkenaan telah tular dan disiarkan sebuah portal media dalam talian pada Khamis lepas.

- Bernama