Skip to main
Logo Malaysiakini

Rahman Dahlan letak jawatan pengerusi Lembaga Pengarah UMS

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Abdul Rahman Dahlan meletakkan jawatan sebagai pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata perletakan jawatan itu berkuat kuasa serta merta.

“Selaras keputusan yang telah diputuskan di dalam Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 3 Ogos 2021, saya, sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno turut patuh dan setia atas ketetapan parti ini.

"Maka, saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah dengan serta merta.

"Umno adalah sebuah parti perjuangan yang mendukung titah Yang DiPertuan Agong sebagai Raja Berpelembagaan seperti yang termaktub di dalam asas dan tujuan Umno mengikut Fasal 3,” katanya pada kenyataan hari ini.

Rahman juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh kakitangan Universiti Malaysia Sabah atas kerjasama baik sepanjang perkhidmatannya.

Dia juga mengucapkan terima kasih kepada bekas menteri pengajian tinggi, Dr Noraini Ahmad yang melantiknya ke jawatan itu sebelum ini.

Semalam, Noraini meletak jawatan menteri mengundurkan dirinya daripada menganggotai kabinet PN dan meletak jawatan sebagai menteri pengajian tinggi.

Selain Rahman, Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin juga telah meletakkan jawatannya sebagai pengerusi Boustead Holding Berhad, selepas dimulakan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah.

Ia turut diikuti Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Razlan Muhammad Rafii yang meletakkan jawatan sebagai ahli Lembaga Pengarah Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Aziz Julkarnain sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutif Boustead Plantation Bhd.

Terbaru, Ketua Umno Bahagian Balik Pulau Shah Headan Ayoob Hussain Shah malam tadi mengumumkan peletakan jawatannya selaku Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan memberi gambaran lebih ramai menteri daripada Umno akan meletakkan jawatan dalam tempoh 48 jam, sehingga hari ini.