Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno Sabah kekal dalam kerajaan PN, PBS

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Umno Sabah akan kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional dan PBS, yang dibentuk pada pilihan raya negeri tahun lalu, di tengah-tengah kemelut politik di peringkat persekutuan.

Umno Sabah dalam satu kenyataan semalam berkata, sebagai 'adik bongsu' berautonomi kepada kepada Umno Malaysia, apa jua keputusan dan ketetapan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti akan sentiasa dihormati dan disesuaikan dengan kuasa autonomi Umno Sabah.

"Mandat yang diberikan oleh rakyat Sabah kepada Umno Sabah di dalam Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN-16) yang lepas akan dihormati, diperkukuh dan dimatangkan.

"Oleh itu, Umno Sabah berpendirian teguh untuk kekal dan menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor," kata Umno Sabah

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada BN, PN dan PBS memperoleh 38 daripada 73 kerusi pada pilihan raya negeri Sabah ke-16.

"Kami berharap pendirian dihormati oleh semua pihak demi kestabilan, keharmonian dan kemakmuran rakyat dan negeri Sabah tercinta," kata Umno Sabah.

Kenyataan itu tidak dikeluarkan oleh Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin atau mana-mana pimpinan parti.

Bung, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Ahli Parlimen Kinabatangan, tidak berada bersama 11 ahli parlimen yang diketuai Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa lalu bagi menzahirkan penarikan sokongan parti itu terhadap kerajaan PN.

Bung juga tidak berada dalam sidang media bersama 31 ahli parlimen BN yang diketuai Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam bagi menyatakan sokongan terhadap kerajaan.

Antara pemimpin Umno yang meletak jawatan termasuk Ketua Pemuda Umno Sabah, Abdul Aziz Julkarnain yang melepaskan jawatan sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutif Boustead Plantation Bhd.

Zahid ketika ini berusaha menyingkirkan Muhyiddin dengan cuba membuktikan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa perdana menteri itu tidak lagi mendapat sokongan majoriti.