Skip to main
Logo Malaysiakini

Letak jawatan atau kami buat #Lawan lagi, kata SSR

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penganjur gerakan #Lawan hari ini menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengundurkan diri kerana kegagalannya mentadbir negara atau dia akan berdepan dengan satu lagi protes jalanan.

Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) berkata mereka sedang merancang untuk melakukan protes yang “lebih besar” dalam masa dua minggu ini jika keadaan masih tidak berubah.

"SSR ingin menjemput rakyat Malaysia, terutama golongan belia untuk bersama dengan rakyat dan sertai protes sekali lagi," kata mereka dalam kenyataan.

Kumpulan itu juga menyalahkan Muhyiddin atas kegagalan kerajaan menangani pelbagai isu yang dihadapi negara, termasuk pandemik Covid-19, ketidaktentuan ekonomi dan politik negara.

"SSR percaya kerajaan ini adalah kerajaan yang gagal dan pemimpin-pemimpin dalam kerajaan gagal ini juga perlu tahu bila mereka patut mengundurkan diri dan memberikan ruang kepada pihak lain untuk menerajui negara,” katanya.

SSR sebelum ini mengadakan tunjuk perasaan di Kuala Lumpur pada 31 Julai bertujuan untuk menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan.

Susulan daripada itu, polis menjalankan soal siasat terhadap pihak penganjur dan juga peserta protes tersebut.

Malah, terdapat pegawai polis yang bertindak pergi ke rumah beberapa aktivis yang terlibat. 

Polis turut memanggil sekurang-kurangnya seorang peguam dan lebih 20 petugas media untuk membantu siasatan berhubung protes tersebut. 

Badan Peguam Malaysia mengesahkan polis menyoal siasat seorang anggota pasukan pemantau Majlis Peguam ketika demonstrasi #Lawan.