Skip to main
Logo Malaysiakini

MEF: Kekal tutup sempadan tapi benarkan perniagaan dalam negeri buka

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) meminta kerajaan supaya membenarkan perniagaan di negeri-negeri menyambung operasi mereka dengan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) manakala sekatan perjalanan antara negeri dikekalkan.

Presidennya Dr Syed Hussain Syed Husman menggesa pihak berkuasa membuka semula semua sektor ekonomi dalam lingkungan sempadan negeri, memandangkan tindakan itu akan membolehkan perniagaan dan ekonomi pulih, serta merancakkan semula pasaran pekerjaan.

“Kami tidak boleh tunggu untuk beralih ke Fasa Dua atau Tiga di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) berdasarkan jumlah kes Covid-19 harian kerana semakin banyak saringan dilakukan, keputusan positif juga akan meningkat. Itulah kebiasaannya, kerana ia telah menjadi endemik dalam masyarakat, dan kita perlu menerima ini sebagai realiti.

“Justeru, kami menggesa pihak berkuasa membenarkan semua sektor yang tidak penting dibuka, termasuk sukan, kedai gunting rambut dan salun, tetapi tidak termasuk industri hiburan malam. Selain itu individu yang telah menerima dua dos vaksin perlu dibenarkan makan di kedai atau restoran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia berkata MEF menyokong ketegasan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya kelonggaran pergerakan tidak dilakukan secara terburu-buru atau terlalu awal tanpa mempertimbangkan kebimbangan mengenai varian Delta Covid-19 yang kini merupakan paling dominan di negara ini.

Syed Hussain berkata susulan itu, MEF telah menasihati para majikan untuk lebih waspada dalam melindungi pekerja mereka, termasuk yang telah menerima dua dos vaksin Covid-19.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah dijalankan dengan baik untuk mendorong masyarakat menerima suntikan vaksin namun tidak bermakna mereka yang telah divaksinkan tidak akan dijangkiti.

“Kami juga bimbang mengenai varian lain seperti Alpha, kemungkinan Zeta, Delta Plus, Lambda serta varian lain yang tidak diketahui yang telah dikesan di negara lain di dunia,” katanya.

Selain itu, Syed Hussain berkata perjalanan dalam negeri tidak sepatutnya disekat, kecuali untuk zon merah, manakala perintah sekatan perjalanan antara negeri pula sewajarnya menjadi perkara terakhir yang dibatalkan.

Walaupun semua sektor yang tidak penting dibuka, kerajaan boleh mengasingkan penularan jangkitan dengan meneliti coraknya, katanya.

Dia berkata kerajaan perlu membuka ekonomi untuk penghidupan kembali normal dan pada masa sama menyokong pendirian KKM dalam usaha menjaga kesihatan pekerja, termasuk yang telah diberikan vaksin.

-Bernama