Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib: Lupakah MCA pada PRK Tg Piai?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketika MCA memberi gambaran masih menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, parti itu didesak untuk mengingati rakan sekutu mereka.

Dalam posting Facebook semalam, bekas perdana menteri Najib Abdul Razak telah berkongsi klip video seorang wanita Melayu berhujan ketika berkempen untuk Wee Jeck Seng (MCA) semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

"Kempen PRK 20 bulan dahulu. Adakah kamu lupa pihak mana yang memberi sokongan paling padu pada kamu tanpa mengira ribut petir atau matahari terik?

"Adakah kamu sudah lupa siapakah pihak lawan masa itu? Kamu mungkin sudah lupa. Tapi, kami di Umno tak lupa," tulis Najib.

PRK Tanjung Piai diadakan pada bulan November 2019 yang menyaksikan Wee mengalahkan calon Bersatu Karmaine Sardini dan Wendy Subramaniam dari Gerakan.

Lebih separuh daripada kawasan pengundi Tanjung Piai adalah kaum Melayu, menjadikan peranan Umno dalam kempen BN sangat penting.

Umno dan MCA antara anggota pengasas BN dan pendahulu gabungan itu, Perikatan.

 

Baru-baru ini, MCA memutuskan menolak keputusan Umno untuk memutuskan hubungan dengan Perikatan Nasional dan menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Pada 6 Ogos, Presiden MCA Wee Ka Siong menghadiri sidang media bersama sekumpulan anggota parlimen Umno mengumumkan akan terus menyokong Muhyiddin.