Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Zalim haramkan Umno

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Saya bukan orang Umno. Saya orang PKR.

Sebagai orang PKR, kami lawan Umno berpuluh tahun. Menang-kalah, kita bertarung secara anak jantan di dalam gelanggang demokrasi.

Ketika Umno dan Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya Umum (PRU) lalu, tentu kami gembira — sesuatu yang sebelum ini dianggap mustahil, telah jadi nyata.

Namun tidak lama sejak itu, mulai terdengar cerita-cerita untuk mengharamkan Umno. Cerita itu tidak datang daripada PKR. Meski ditunjangi Melayu, PKR adalah parti pelbagai kaum.

Ada pemimpin dari “parti Melayu” yang lain—ketika bersama dengan Pakatan Harapan (PH) — yang mahu menghapuskan Umno sama sekali. Saya pasti, masyarakat umum juga sudah mengetahui gerangan parti berkenaan.

Umno yang sudah tidak berkuasa, kalau pun diharamkan, memang akan dilihat terkapai-kapai tidak upaya. Macam mentimun — digelek lenyek, menggelek juga lenyek.

Ciri-ciri Mahathirisme

Sejak mendengar desas-desus ada usaha ke arah mengharamkan Umno, saya dan ramai anggota PKR yang lain jadi resah dan sangat tidak bersetuju. 

Kami orang PKR sering ditindas, ditekan dan dizalimi; dan bagaimana kami akan bersenang hati apabila melihat ada pihak yang mahu dianiaya seperti yang pernah kami alami puluhan tahun lamanya.

Mengugut, menindas, memaksa dengan kuasa adalah apa yang saya sebutkan sebagai ciri-ciri Mahathirisme. Ia merupakan gaya politik yang sering diamalkan di era Dr Mahathir Muhamad menjadi perdana menteri dahulu.

Waktu itu bolehlah ditandakan sebagai zaman gelap politik Malaysia. Seteru politik tidak ditentang secara demokratik dan anak jantan. Musuh ditentang dengan tekanan undang-undang: tangkapan, ugutan, tekanan dan pelbagai lagi upaya yang berselindung di sebalik pelbagai rupa undang-undang.

Dalam hal ini, Mahathirisme sama sahajalah dengan apa yang disebut sebagai “Thesis Lee” di Singapura; di era pentadbiran Lee Khuan Yew. Di sana pun, banyak pihak yang lantang menentang parti yang berkuasa dilemahkan atau dihabisi dengan cara tekanan undang-undang: polis, ROS, pendakwaan terpilih, mahkamah dan penjara.

Ternyata gaya politik sebegitu tidak semestinya dilakukan oleh batang tubuh Mahathir atau Khuan Yew sendiri.

Ia sudah menjadi semacam satu bentuk pemikiran atau aliran pemikiran politik. Boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang berkuasa; dan dikenakan kepada sesiapa yang tidak berkuasa untuk ditindas dan dikalahkan. Hari ini sang penindas adalah Bersatu; dan yang ditindas adalah Umno.

Diktator halus

Mungkin kita boleh mengkategorikan yang Mahathirisme atau Thesis Lee sebagai sebuah kediktatoran yang halus. Tidak keras sekeras diktator yang pernah wujud sama ada di Kesatuan Soviet, China, Korea Utara dan negara Komunis lainnya.

Namun sama ada diktator halus atau diktator kasar, kediktatoran tetap sesuatu yang perlu ditolak. Kezaliman tetap kezaliman.

Bersatu dan PAS akan jadi parti yang paling gembira sekiranya Umno berjaya diharamkan. Ketiga-tiga parti itu berasaskan Melayu. Kalau Umno haram dan terbubar, tentunya Bersatu dan PAS berharap yang orang Melayu tidak ada pilihan, akan berasak-asak berpindah mengisi borang Bersatu atau PAS. Kononnya.

Dan yang paling mahu menangguk di air keruh tentunya Bersatu, kerana Bersatu adalah salinan daripada Umno. Bahkan 99.9 peratus pemimpinnya juga berasal dari Umno.

Meski Umno dilihat sebagai sebuah parti yang telah busuk reputasinya, tetapi tidak boleh juga dilupakan bahawa kalau benar pun Umno telah busuk, mereka yang kini berada di dalam Bersatu jugalah yang telah membusukkan nama Umno. Mereka jugalah yang baru kelmarin merupakan elit pemimpin Umno.

Hanya persoalannya, sekira Umno boleh dihabisi dengan cara helah teknikal undang-undang, tidak mustahil parti-parti lain juga boleh menimpa nasib yang sama demi menjaga kelansungan Perikatan Nasional (PN). 

Di ketika sama, bangsa Melayu juga sering diingatkan oleh pesan nenek-moyang kita: betapa mereka yang sanggup khianat, orang itu juga pasti sanggup melakukan segala bentuk kejahatan yang lain.

Di sinilah strategi dengan menjadikan undang-undang atau memperalat agensi kerajaan demi kepentingan politik, perlu ditolak. Ini politik lapuk dan rendah tamadun.

Umno itu hanya mangsa hari ini, esok-esok belum tahu giliran siapa lagi?

Saya bukan orang Umno. Saya orang PKR. Sebagai orang PKR, kami lawan Umno berpuluh tahun. Tetapi menindas sesebuah parti politik yang sah seperti yang dilakukan terhadap Umno sekarang, bukan sistem demokrasi yang dimaksudkan bapa-bapa kemerdekaan bangsa.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.