Skip to main
Logo Malaysiakini

Hisham: PKPD di beberapa lokaliti di Kelantan, T'ganu, Sabah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sebanyak lapan lokaliti di Kelantan, Terengganu dan Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa Selasa ini hingga 23 Ogos depan.

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata di Kelantan, lokasi yang dikenakan PKPD ialah Kampung Baru Pupoh di Pasir Puteh manakala di Terengganu ialah Desa Keluarga YPK Chendering di Kuala Terengganu.

“PKPD di Sabah melibatkan tiga lokaliti di Tawau iaitu Blok 11 Kampung Titingan, Kampung Pukat di Tanjung Batu Laut dan Kampung Rawa-Rawa Batu 4. Di Kalabakan pula melibatkan dua kawasan perumahan ladang iaitu Perumahan Ladang Kapur di Benta Wawasan dan Perumahan Ladang Serudung di Usahawan Borneo.

“Turut dikenakan PKPD Kampung Padas di Kota Kinabalu, Sabah,” menurutnya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.

Beliau juga berkata PKPD di beberapa lokaliti di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dijadualkan tamat pada 9 Ogos, dilanjutkan.

Hishammuddin berkata PKPD di Pasir Puteh, Kelantan melibatkan Kampung Bukit Merbau, Bukit Jawa dan Kampung Banggol Pak Esah, Bukit Abal dilanjutkan hingga 23 Ogos depan.

“PKPD di Kampung Teluk Menara, Manir, Kuala Terengganu di Terengganu dilanjutkan hingga 18 Ogos manakala PKPD di Kampung Bukit Malut, Langkawi di Kedah dilanjutkan hingga 23 Ogos,” katanya.

Menyentuh operasi pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semalam, beliau berkata 25 premis diarah tutup serta-merta ekoran kegagalan mematuhi SOP.

Katanya 255 individu dikompaun kerana ingkar SOP dan 21 lagi direman manakala dalam Op Benteng, sembilan pendatang tanpa izin ditahan dan tiga kenderaan darat dirampas.

- Bernama