Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Covid-19: Menunggu 'negara Islam' berlaku adil pada semua

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Ibnu Taimiyah di dalam Majmu'ah Fatawa menyebut: "Allah memberikan kekuatan kepada negara yang adil walaupun negara tersebut kafir, dan Allah tidak akan memberikan naungan kekuatan kepada negara yang zalim meski pun negara tersebut adalah negara Islam."

Katanya lagi: "[...] dunia terus hidup dengan keadilan dalam kekufuran dan tidak akan hidup dengan ketidakadilan dalam Islam yang hanya pada nama."

Tulisan ini dimulakan dengan dengan memetik kata-kata Ibnu Taimiyah kerana sekurang-kurangnya dia diterima oleh banyak aliran pemikiran Islam di negara kita - walaupun tidak semua - termasuk parti politik, NGO atau individu berpengaruh yang menggelar diri mereka pengikut sunnah.

Termasuklah - mungkin - mereka yang mempunyai autoriti agama seperti menteri agama dan mufti.

Pada masa sama, sekarang dari sehari ke sehari kita diberitahu mengenai angka-angka kes jangkitan baru dan kematian disebabkan oleh Covid-19 di negara ini.

Dalam tempoh seminggu pertama Ogos ini saja (1 Ogos sehingga 7 Ogos) Malaysia mencatat jangkitan sebanyak 130,580 dengan purata harian sebanyak 18,654 kes. Kadar kematian pula mencatat sebanyak 1,365 dengan purata harian 195 kes.

Pada awal dahulu, bagi kita angka-angka ini mungkin sekadar data semata-mata. Namun semakin hari, angka-angka ini menjadi kenalan kita, orang kampung kita, rakan sekerja kita, malah ahli keluarga kita, pasangan kita, ibu bapa kita, anak-anak kita.

Angka-angka itu mula kita berikan nama. Nama mereka yang meninggalkan kita, juga nama-nama yang ditinggalkan oleh mereka. Nama yang menjadi balu, yang menjadi anak yatim. Semuanya menjadi dekat. Dan kemudian semakin mendekat.

Covid-19 bukan lagi seperti yang pernah kita 'sangka' iaitu hanya menyerang seseorang yang kita tidak kenal atau yang enggan kita kenali. Covid-19 kini mengganas dalam kalangan kita tanpa mengkira siapa, apa bangsa atau agama.

Tidak kira sama ada kita ini orang politik atau bukan, sama ada bersama parti kerajaan atau pembangkang. Bahkan kalau kita ahli parti Islam pun Covid-19 tidak akan memilih. Itu sangat pasti.

Sibuk mencatur kuasa

Dan itu yang membuatkan kita tertanya-tanya: di mana suara-suara agamawan yang mengiktiraf Ibnu Taimiyah yang berani menegur pemerintah yang terus-menerus membawa rakyat ke arah kemudaratan yang jelas?

Kalau kamu masih belum faham akan kemudaratan yang dimaksudkan, baca kembali angka-angka tentang jangkitan dan kematian oleh Covid-19 yang telah disebutkan di atas. Itu belum lagi kita sebutkan tentang angka-angka orang yang hilang pekerjaan, yang kelaparan, yang menghadapi tekanan emosi sehingga mahu atau telah membunuh diri, misalnya.

Senarai itu panjang. Takkan satu pun mereka - yakni agamawan tadi - tidak nampak? Atau nampak, tapi memejam mata, menutup telinga dan mulut kerana mahu menjaga kepentingan, kedudukan, jawatan dan periuk nasi mereka saja.

Bukankah salah satu tujuan atau maqasid syariat Islam adalah untuk menjaga nyawa? Bolehkah kita katakan sebuah kerajaan atau negara Islam yang gagal menjaga nyawa rakyatnya - kerana pemerintah lebih sibuk mencatur bagaimana untuk kekal berkuasa - adalah negara Islam yang gagal, malah mungkin zalim?

Itu adalah negara yang Islamnya hanya pada nama, bak kata Ibnu Taimiyah tadi. Lalu, apa yang kita mahu banggakan dengan negara Islam Malaysia versi sekarang ini?

Kenapakah ada ulama politik yang menyeru untuk kita pertahankan kerajaan yang gagal ini ketika ada indikator mencadangkan ia adalah zalim? Dan mungkin lebih penting untuk kita tanya: kenapa kita perlu pertahankan kerajaan ini? Apa yang kita dapat? Adakah semata-mata kerana kita Islam dan negara ini dilabelkan negara Islam?

Kalau itu sebabnya, mari kita cuba berfikir. Mungkinkah di luar sana ada versi kerajaan Islam yang mungkin lebih berjaya menjaga maksud syariat agama itu, termasuk menjaga nyawa dan harta? Mungkinkah di luar sana ada alternatif kepada kerajaan Islam yang boleh ditadbir dengan lebih cekap?

Pakatan Harapan, misalnya - jika tidak ditumbangkan dari pintu belakang dan tebuk atapnya awal tahun lalu - sudah di peringkat akhir untuk melancarkan gagasan Negara Rahmah. Gagasan yang menjadikan pendekatan Rahmatan lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia sebagai tiga teras utama.

Ia turut menjadikan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (17 Sustainable Development Goals) yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai kerangka utama.

Itu menunjukkan wawasan yang jelas oleh menteri agama yang lalu. Menjadi menteri agama, peranannya bukan untuk menjadi tukang baca doa dan mentahnik, atau memberikan makanan kepada haiwan di zoo.

Sungguh malang apabila kita meletakkan seorang yang bukan sahaja tidak bersuara untuk menegur keburukan kerajaannya, malah jauh lebih teruk lagi, gagal untuk memahami tugas sendiri.

Kembali kepada kata-kata Ibnu Taimiyah di atas, Allah memberi kekuatan kepada negara yang adil. Dan kekuatan adalah sesuatu yang sangat negara kita perlukan pada masa ini.

Asas untuk mendapat negara yang kuat ialah adil. Bagaimana negara ini mahu adil kalau kita seolah-olah lupa kepada firman Allah dalam surah an-Nisa', ayat 58 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah (dengan suruhan-Nya itu) memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat."

Berlaku adillah kita semua kepada diri sendiri. Bagaimana mengukur kita adil atau tidak kepada diri sendiri? Kalau kita mengikuti sidang Dewan Rakyat yang tertangguh tiba-tiba baru-baru ini, dan boleh mengakui bahawa Dzulkefly Ahmad adalah orang yang lebih "ahli" untuk memimpin kita melawan Covid-19 berbanding Dr Adham Baba, mungkin kita sudah ada sedikit harapan.


NAJMUDDIN YUSOFF ialah peminat politik tanah air yang sangat tidak berminat dengan agamawan tidak adil.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.