Skip to main
Logo Malaysiakini

SPRM siasat dakwaan MP DAP dapat tawaran jawatan menteri, 'durian RM30'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata pihaknya telah menemui tiga ahli parlimen DAP yang mendakwa menerima tawaran, termasuk jawatan menteri, agar menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan memberi jaminan akan terus menjalankan siasatan berkenaannya.

"Sehingga kini, SPRM sudah menemui tiga ahli parlimen DAP berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tohmahan tersebut.

"Setakat ini, SPRM tidak dapat mengenal pasti identiti sebenar pemilik nombor telefon yang menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp tersebut kepada ahli-ahli parlimen berkenaan.

Tiga ahli parlimen yang membuat dakwaan tersebut adalah M Kulasegaran (Ipoh Barat), Khoo Poay Tiong (Kota Melaka) dan Kelvin Yii (Bandar Kuching).

Terdahulu, Khoo berkata ada nombor yang tidak dikenali menghubunginya berkenaan kekosongan dua jawatan menteri, selepas Shamsul Anuar Nasarah dan Dr Noraini Ahmad meletakkan jawatan.

Menurut Khoo, individu tersebut menawarkan "durian RM30" secara tunai dan jawatan menteri. Tidak jelas apa yang dimaksudkan dengan "durian RM30" tersebut.

Selain itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail turut mendakwa ada percubaan "membeli" lima ahli parlimennya, iaitu Leow Hsiad Hui (Hulu Selangor), Azman Ismail (Kuala Kedah), Chan Ming Kai (Alor Setar), Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa).

Perkembangan itu tidak lama selepas keputusan Umno menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN.

Muhyiddin bertegas dia masih memiliki majoriti sokongan ahli parlimen dan akan membuktikannya menerusi undi percaya pada sidang September depan.

Bagaimanapun pembangkang menegaskan ia perlu dilaksanakan segera.

Dalam perkembangan berkaitan, polis Perak berkata telah menerima laporan daripada setiausaha sulit Kulasegaran berhubung dakwaan tawaran tersebut.

“Laporan itu dibuat berkaitan mesej yang disyaki berunsur rasuah, melalui dua nombor telefon yang tidak dikenali pada Jumaat lepas kira-kira pukul 10.30 malam, dan ada dua lagi laporan polis telah dibuat di Kedah serta Pulau Pinang berkaitan perkara yang sama,” kata Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid.

Mior berkata, laporan itu telah dihantar kepada SPRM Perak untuk tindakan lanjut.