Skip to main
Logo Malaysiakini

'Hargai kelonggaran diberi dengan patuhi SOP'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan Kelantan menyambut baik kelonggaran pergerakan kepada mereka yang sudah lengkap vaksinasi seperti diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, semalam.

Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Abdullah bagaimanapun berkata, pihaknya berharap seluruh masyarakat menghargai kelonggaran yang diberikan itu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa.

Katanya, ia adalah satu perkembangan yang baik dan merupakan permintaan rakyat sejak dari dulu.

"Ia menunjukkan keadaan semakin baik dan ke arah mencapai imuniti kelompok apabila hampir 80 peratus daripada rakyat yang sudah memperoleh dua dos suntikan vaksin.

"Bagaimanapun, saya ingin tekankan kepada kita semua untuk menjaga SOP kerana masalah besar pada hari ini adalah dari segi SOP kerana masih ada dalam kalangan kita yang agak leka dan ini yang menjadi kebimbangan.

"Kita harap dengan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan, masing-masing menghargainya dengan menjaga SOP dan kita tidak mahu bila diberikan kelonggaran makin ramai yang dijangkiti Covid-19," katanya kepada media selepas gimik penyampaian tablet kepada anak-anak pelanggan Ar-Rahn di Ibu Pejabat Permodalan Kelantan Berhad, Kota Bharu di Kelantan hari ini.

Dia berkata demikian kita diminta mengulas perkembangan kelonggaran beberapa aktiviti kepada individu yang sudah menerima vaksin lengkap dan menetap di negeri fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok.

Semalam, Muhyiddin antara lain mengumumkan kebenaran aktiviti solat di surau dan masjid, rentas daerah bersyarat dan makan di kedai (dine-in) dibenarkan kepada golongan lengkap vaksinasi, dengan sesetengah kelonggaran masih bergantung kepada fasa Pelan Pemulihan Negara yang sedang berkuat kuasa di negeri masing-masing. 

Sementara itu Mohd Amar yang juga pengerusi Permodalan Kelantan Berhad berkata, melalui usahasama dengan Koperasi Permodalan Kelantan Berhad, seramai 50 keluarga kurang berkemampuan layak menerima kemudahan peranti pintar (tablet)

"Sumbangan yang diberikan ini adalah untuk membantu keluarga yang mempunyai ramai anak yang masih bersekolah khususnya bagi membantu kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

"Penyerahan ini akan dibuat secara berperingkat kepada penerima-penerima lain melalui cawangan Ar- Rahn yang terpilih," katanya.