Skip to main
Logo Malaysiakini

Ketua Polis Kelantan ingatkan jangan salah guna kelonggaran

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan kelonggaran yang diberi kepada individu yang telah cukup dua suntikan vaksin sepertimana yang telah diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

"Semalam, perdana menteri telah memberi perincian berkenaan sedikit kelonggaran yang telah diberi oleh kerajaan kepada rakyat yang sudah mendapat dua dos vaksin tetapi macam mana sekalipun, rakyat tetap perlu patuh prosedur operasi standard (Sop) yang telah ditetapkan.

"Saya ingin mengingatkan kepada rakyat Malaysia supaya tidak menyalahgunakan kelonggaran yang telah diberi kerajaan seperti kemukakan dokumen palsu kerana kes-kes Covid-19 ini masih lagi pada tahap membimbangkan," katanya dalam satu sidang media program Komuniti Lawatan Ketua Polis Kelantan Ke Pusat Pemberian Vaksin SK Padang Mandol, Tumpat, hari ini (gambar, bawah).

Tambahnya, orang ramai boleh menggunakan aplikasi Mysejahtera sebagai bukti lengkap dua dos vaksin kepada pihak polis di setiap sekatan jalan raya buat sementara waktu sebelum pihak tertinggi putuskan untuk kaedah-kaedah yang lain.

"Pihak kami telah berbincang dengan pihak tertinggi berkenaan kaedah-kaedah ini cuma yang penting sekarang ini, orang ramai boleh guna aplikasi Mysejahtera melalui telefon masing-masing atau seeloknya lagi difotostat salinan sijil tersebut untuk ditunjukkan kepada polis di setiap sekatan jalan raya.

"Insyaallah kita akan maklumkan kepada masyarakat dalam masa terdekat berkenaan kaedah-kaedah lain apabila telah diputuskan nanti," katanya.

Menurut Syafien, setakat ini, Kelantan mempunyai 32 lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara keseluruhannya tetapi 14 daripadanya akan tamat malam ini.

"Sehingga semalam kita mempunyai 32 lokasi PKPD dan 14 daripadanya iaitu di daerah Pasir Puteh dan Machang akan tamat malam ini.

"Dengan penamatan tersebut, kita dapat menggembleng tenaga anggota kita untuk tugas-tugas pemantauan pematuhan SOP pula.

"Satu-satu kawasan kita tempatkan 59 anggota yang terdiri daripada Rela, Polis, angkatan tentera dan sebagainya. Jadi kita adalah 'manpower' untuk penguatkuasaan Sop," katanya.