Polis tahan warga emas didakwa aibkan MB Kedah
Polis telah menahan seorang warga emas berhubung video berdurasi sembilan minit yang mengecam Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengenai gurauan yang dibuatnya mengenai kontena sementara untuk menyimpan mayat pesakit Covid-19.
Lelaki berusia 61 tahun itu ditangkap pada jam 3.57 pagi hari ini setelah pegawai khas Sanusi membuat laporan polis terhadapnya semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah mengesahkan penangkapan itu, menurut Harian Metro.
Video tersebut dimuat naik di laman Facebook bernama "Kamal Hero Malaya"
Adzli berkata polis mengesan lelaki itu dan menyerbu kediamannya di Lenggeng, Negeri Sembilan.
"Dalam serbuan itu, polis turut merampas telefon bimbit milik lelaki itu dan pemeriksaan mendapati dia turut memiliki rekod lampau yang masih disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.
Seksyen 506 berkaitan kesalahan menakutkan secara jenayah.
"Lelaki itu kini direman dan akan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil," katanya lagi.
Adzli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
"Kami akan lengkapkan kertas siasatan secepat mungkin dan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya," jelasnya.
Seksyen 504 Kanun Keseksaan merujuk kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan manakala Seksyen 233 merujuk penggunaan tidak wajar rangkaian komunikasi.
Dalam video tersebut, warga emas itu berulang kali mempersoalkan kebijaksanaan Muhammad Sanusi dalam mentadbir negeri Kedah.
Warga emas, yang membahasakan dirinya sebagai "Tok Abah" itu antaranya berang dengan kes Sanusi memandu uji kenderaan semasa penutupan Covid-19 dan mencabar pemimpin PAS untuk mengambil tindakan terhadapnya.
Muhammad Sanusi kelmarin meminta maaf atas "gurauan kasar" yang dibuatnya berkenaan kontena jenazah di Kedah.
Kata Sanusi juga, gurauan tersebut ditularkan secara di luar konteks.
Menurut ahli Jawatankuasa Pusat PAS itu lagi, orang yang biasa berjumpa dengannya faham bahawa dia memang suka bergurau terutama dengan wartawan yang dianggapnya sebagai sebahagian daripada keluarganya.
"Oleh kerana ada pihak tersinggung dengan gurauan itu, saya memohon maaf kepada pihak yang tersinggung, dan saya ingin jelaskan saya cuma ingin bergurau dengan wartawan.
"Depa tahulah karakter saya tu, tapi dah masuk kamera (dirakam), nasib sayalah," katanya.
Terdahulu, tular klip video Sanusi menjawab soalan wartawan berkaitan isu Covid-19 di Kedah dan nasihatnya kepada orang ramai agar mematuhi prosedur operasi standard kerana hospital di negeri itu sudah penuh.
Ditanya sama ada tempat menyimpan mayat pesakit Covid-19 mencukupi atau tidak, Sanusi menjawab: "Kontena jenazah mencukupi, siapa nak masuk sila bagi nama."
Reaksi spontan itu kemudian mengundang kecaman pelbagai pihak sama ada kalangan ahli politik atau pakar kesihatan awam kerana dianggap tidak sensitif dengan situasi semasa.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai