Skip to main
Logo Malaysiakini

Faedah untuk individu lengkap divaksin: Panduan SOP

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengeluarkan prosedur operasi standard terperinci (SOP) untuk individu yang diberi vaksin sepenuhnya.

Ini selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kelmarin mengumumkan beberapa kelonggaran bagi individu yang telah menerima dos lengkap vaksin.

Ini termasuk mengizinkan individu yang baru pulang atau tiba dari luar negara untuk kuarantin di rumah, perjalanan rentas negeri untuk kumpulan terpilih dan solat di masjid dan rumah ibadat.

Berikut SOP terperinci: (berkuatkuasa di semua negeri, tanpa mengira fasa Pelan Pemulihan Negara [PPN] yang negeri berkenaan).

PERJALANAN RENTAS NEGERI

  • Hanya terpakai untuk: Pasangan jarak jauh dan ibu bapa yang ingin melihat anak mereka yang berumur di bawah 18 tahun.
  • Mesti mendapatkan kebenaran polis terlebih dahulu.
  • Permohonan dengan polis mesti menyertakan salinan dokumen berikut: 

Untuk pasangan suami isteri

  1. MyKad
  2. Salinan sijil/ kad nikah
  3. Salinan sijil digital vaksinasi Covid-19
  4. Bukti alamat/ surat majikan

Untuk ibu bapa dan anak-anak (bawah 18 tahun)

  1. MyKad (ibu bapa)
  2. Surat beranak (anak)
  3. Salinan sijil digital vaksinasi Covid-19
  4. Dokumen sekolah (jika perlu) 

Polis akan mengeluarkan surat kebenaran rentas negeri untuk ditunjukkan pada sekatan jalan.

KUARANTIN RUMAH

  • Hanya untuk pengembara dari luar negara (warganegara dan bukan warganegara) yang mempunyai kediaman di Malaysia.
  • Ujian RT-PCR tiga hari sebelum keberangkatan mestilah negatif bagi Covid-19.
  • Tiada gejala semasa ketibaan.
  • Mesti mempunyai bukti vaksinasi lengkap.
  • Mesti mempunyai rumah yang sesuai untuk kuarantin.

Tempoh kuarantin 14 hari tetapi boleh dilanjutkan sehingga 21 hari berdasarkan penilaian risiko.

Namun, bagi mereka yang tiba dari India, Sri Lanka, Bangladesh, Nepal, dan Pakistan, masa kuarantin akan ditetapkan selama 21 hari.

Mereka yang tidak mendapat vaksin lengkap mesti mengasingkan diri di pusat kuarantin sebagaimana SOP sedia ada.

MASJID, RUMAH IBADAT

Individu lengkap divaksin boleh solat di masjid, atau bukan Islam ke rumah ibadatnya, bergantung peraturan pihak berkuasa agama negeri atau Kementerian Perpaduan.

MANFAAT TAMBAHAN

Bagi negeri dalam Fasa 2 PPN dan seterusnya, manfaat tambahan diberikan kepada mereka yang lengkap divaksin.

Negeri-negeri tersebut adalah: Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Perlis, dan Labuan.

Bagaimanapun kelonggaran berikut tidak berkuatkuasa di: Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kedah, Kuala Lumpur, dan Putrajaya.

PERJALANAN RENTAS DAERAH

Individu yang divaksinasi lengkap yang merentas daerah mesti memberikan dokumen berikut di sekatan jalan raya.

  1. MyKad
  2. Sijil digital vaksinasi Covid-19

MAKAN DI RESTORAN

Semua restoran boleh membenarkan makan di premisnya untuk pelanggan yang lengkap divaksin dengan syarat:

  1. Mereka menunjukkan makluman yang menyatakan kebenaran makan di premis hanya individu lengkap divaksin.
  2. Mereka menunjukkan jumlah pekerja mereka yang telah lengkap menerima vaksin.
  3. Pastikan jarak meja yang sesuai dan pengudaraan yang baik.
  4. Beroperasi pada kapasiti 50 peratus.

Ini tertakhluk terhadap peraturan tambahan yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna.

Pasangan suami isteri yang diberi vaksin lengkap boleh membawa anak mereka yang berumur di bawah 18 tahun.

Tidak ada program vaksinasi untuk kanak-kanak di bawah 18 tahun.

PELANCONGAN DALAM NEGERI

Terhad untuk hotel dan homestay dalam keadaan yang sama.

Para tetamu mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 mereka semasa daftar masuk.

Pasangan suami isteri yang diberi vaksin sepenuhnya boleh membawa anak mereka yang berumur bawah 18 tahun.

SUKAN LUAR

Hanya terhad kepada individu, tidak ada aktiviti kumpulan atau sentuhan. Terhad jam 6 pagi ke 10 malam.

DEFINISI LENGKAP DIVAKSIN

Untuk Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac: Telah menerima dos kedua selama lebih dari 14 hari.

Untuk Johnson & Jonson dan CanSino: Telah menerima dos pertama selama lebih dari 28 hari.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.