Skip to main
Logo Malaysiakini

Rashid: Parlimen belum terima usul percaya PM

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon memaklumkan pihaknya belum lagi menerima usul percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada sidang parlimen September depan.

“…kita belum terima lagi setakat hari ini. Bagi usul kerajaan tempoh penghantarannya tidak terlalu jauh dari tarikh persidangan berbanding usul peribadi yang perlu dihantar dalam tempoh 14 hari sebelum bersidang,” katanya, lapor Bernama hari ini.

Sebelum ini, Muhyiddin berkata keabsahannya sebagai perdana menteri akan ditentukan melalui usul undi percaya di parlimen, September ini.

Untuk rekod,  Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pada 13 Julai lalu mengemukakan usul agar Dewan Rakyat membenarkan pengisytiharan darurat, tatacara darurat, perbelanjaan berkaitan pandemik, program vaksinasi yang sedang berlangsung dan Pelan Pemulihan Nasional dibahaskan.

Pun begitu, usul berkenaan ditolak Dewan Rakyat. Antara alasan diberikan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun kerana Anwar menghantar usul berkenaan terlalu awal.

Dalam suratnya kepada Anwar, Azhar menjelaskan notis untuk persidangan khas itu dikeluarkan pada 15 Julai dan usul Anwar pula diserahkan pada 12 Julai.

"Oleh itu, usul oleh ahli parlimen yang dihormat itu tidak ada di dalam kertas pesanan kerana dikemukakan sebelum pemberitahuan," kata Azhar pada 24 Julai.

Sidang Khas Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung pada 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos, cuma sempat bersidang selama empat hari dan ditangguhkan dengan alasan penularan jangkitan Covid-19 di bangunan parlimen.

Sebanyak 88 kes positif setakat 8 Ogos dikesan mmbabitkan individu yang hadir sidang khas itu.

Sementara itu, Rashid berkata jumlah kapasiti individu termasuk bilangan ahli parlimen untuk menghadiri Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang dijadualkan bermula 6 Sept akan diteliti.

Jelasnya, ini bagi mengelakkan kejadian penularan Covid-19 berlaku, seperti yang terjadi pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat hujung Julai lepas.

Rashid berkata Jawatankuasa Dewan Rakyat akan berbincang dengan ketua-ketua whip parti kerajaan dan pembangkang dalam tempoh terdekat berdasarkan nasihat yang akan dikemukakan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Seperti sebelum ini, Jawatankuasa Dewan Rakyat akan panggil semua ketua-ketua whip daripada parti kerajaan dan pembangkang untuk berbincang (jumlah kehadiran ahli parlimen).

“Belajar daripada apa yang berlaku pada sidang khas Dewan Rakyat baru-baru ini, kita perlukan langkah pencegahan yang lebih mantap,” katanya kepada Bernama selepas program serahan Bantuan Bakul Makanan kepada 50 artis veteran anjuran Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) di Desa Melawati, di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Rashid berkata notis pemberitahuan kepada ahli parlimen dalam proses untuk diedarkan bagi membolehkan mereka menyediakan soalan untuk sesi soal jawab lisan dan lain-lain.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 15 hari bermula 6 hingga 30 Sept 2021, manakala Mesyuarat Kedua pula berlangsung selama 32 hari mulai 25 Okt hingga 16 Dis 2021.

Istiadat pembukaan sidang Dewan Rakyat akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 6 Sept.