MPKB: Kekal patuhi SOP walau dibenar 'dine-in'
Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) mengingatkan kepada peniaga dan pelanggan supaya terus mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) walaupun aktiviti "dine-in" dibenarkan mulai hari ini.
Yang Dipertua MPKB Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf berkata selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan kemudahan-kemudahan kepada individu yang lengkap divaksin, MPKB-BRI menjangkakan aktiviti makan di kedai atau ‘dine in’ akan kembali rancak.
Sehubungan itu, beliau berkata operasi pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan dipertingkat bagi memastikan pematuhan SOP yang tinggi oleh masyarakat dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
"MPKB-BRI ingin memberi peringatan kepada masyarakat, terutama kalangan peniaga dan pengunjung yang makan di kedai, bahawa tindakan di bawah Akta 342 serta Undang-Undang Kecil MPKB-BRI yang sedia ada akan dikenakan terhadap peniaga dan individu yang melanggar SOP.
"Bagi individu yang ingin "dine-in" mestilah menunjukkan sijil pengenalan digital yang mengesahkan individu tersebut telah lengkap divaksin. Bagi pemilik premis, mereka perlu memaparkan di pintu masuk kedai, nama dan jumlah pekerja yang telah lengkap divaksin, di samping perlu memastikan penjarakan sosial dipatuhi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tuan Zainal Abidin berkata pihak MPKB-BRI juga tidak teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada individu mengikut undang-undang di bawah Perintah 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPP) Akta 342, jika didapati terdapat pelanggaran SOP.
"Kompaun juga akan dikenakan kepada pemilik premis makanan atau gerai penjaja di bawah perintah yang sama atas kesalahan membenarkan pelanggan yang belum lengkap divaksin makan di premis makanan atau gerai mereka," katanya.
Tambahnya, selain tindakan kompaun, tindakan tegas tambahan akan dikenakan termasuk menyita dan menutup premis perniagaan di bawah Seksyen 38 dan Seksyen 43 Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPKB-BRI 2019.
Katanya pembatalan lesen penjaja dan penyitaan gerai di bawah Seksyen 4 Undang-Undang Kecil Penjaja MPKB-BRI 1986 juga boleh dilakukan.
"Pihak MPKB-BRI amat mengharapkan agar semua lapisan masyarakat terus istiqamah mematuhi segala SOP di bawah fasa dua Plan Pemulihan Negara yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan dan bersama-sama berusaha mengekang penularan rantaian wabak Covid-19," katanya.
- Bernama
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai