Skip to main
Logo Malaysiakini

Sarawak pertimbang beri vaksin kepada golongan bawah 18 tahun

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan Sarawak telah meminta Kumpulan Penasihat Covid-19 Sarawak (Scovag) untuk menilai sama ada golongan berusia bawah 18 tahun perlu diberi vakin.

Perkara itu dinyatakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dr Sim Kui Hian yang memaklumkan 260 daripada 836 kes baru Covid-19 semalam melibatkan golongan itu.

"Oleh kerana program vaksinasi di Sarawak adalah jauh ke depan berbanding di negeri lain, dan sekitar 29 peratus penduduk di negeri ini adalah golongan muda di bawah 18 tahun, kita tidak harus menunggu Program Imunisasi Covi-19 Kebangsaan (Pick) untuk merangka dasar dan pendekatan vaksinasi kepada golongan terbabit.

"Saya telah meminta Scovag untuk menilai sama ada kumpulan ini juga harus diberikan vaksin atau tidak," kata Sim dalam satu kenyataan Facebook hari ini.

Sim yang juga penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata, walaupun negeri itu mencatatkan jumlah kes harian kedua tertinggi dalam negara setakat ini, namun sedikit saja yang melibatkan pesakit Kategori 3, 4 atau 5.

Bagaimanapun, jelas Sim lagi, penduduk di negeri itu tetap perlu berwaspada kerana jumlah mereka yang dijangkiti tetap akan memberi kesan kepada sistem pengurusan hospital.

Menurut Sim, 114 kes, atau 13.6 peratus daripada 836 kes baru semalam, adalah melibatkan individu yang belum divaksin dan 116 kes (13.8 peratus) melibatkan mereka yang baru menerima satu dos.

Sim berpandangan yang bilangan jangkitan baru melibatkan penerima satu dos akan berkurangan dalam waktu terdekat kerana hampir 99.9 peratus daripada mereka akan menerima dos kedua.

Katanya, 346 daripada 836 kes yang dilaporkan semalam adalah individu yang telah mendapat dua dos, tetapi analisis lebih lanjut perlu dilakukan mengenai berapa banyak yang dijangkiti selepas 14 hari menerima dos kedua.

Individu hanya dianggap telah divaksin sepenuhnya selepas 14 hari menerima dos kedua vaksin Pfizer, Sinovac atau AstraZenaca dan 28 hari setelah mendapat vaksin Johnson & Johnson atau CanSino (kedua-duanya hanya memerlukan satu dos).

Sementara itu, Sim berkata 645 kes (77 peratus) daripada kes baru yang dilaporkan semalam dikesan di daerah Kuching, Samarahan dan Serian.

Katanya lagi, peningkatan kes tersebut mungkin disebabkan oleh kepadatan penduduk, mobiliti dan jaringan yang tinggi.

Lebih daripada 414 kes di Sarawak semalam berkaitan dengan kluster, antaranya Kampung Bintawa Ulu (111), Melikin (107), Kampung Bunuk (64), Kampung Git (47) dan Kampung Bintawa Tengah (26).