Skip to main
Logo Malaysiakini

'Ustaz Budak' berdepan pertuduhan ke-13 hari ini

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selepas didakwa dengan 12 pertuduhan jenayah seksual, seorang pengurus madrasah berdepan pendakwaan kali ke-13 di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan, hari ini, dengan satu lagi pertuduhan mencabul seorang remaja lelaki bawah umur.

Tertuduh Syamsul Zaman Sukri, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Dalam prosiding yang dibuat secara dalam talian itu, dia didakwa dengan maksud seksual meraba bahagian sulit seorang remaja lelaki berumur 13 tahun.

Mengikut pertuduhan, Syamsul yang juga dikenali sebagai Ustaz Budak didakwa melakukan perbuatan itu dalam sebuah bilik tidur di sebuah rumah di Kampung Sat Tengah, Tanah Merah, kira-kira jam 9.45 pagi pada 3 Ogos lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum bawah seksyen 14 Akta yang sama.

Tertuduh yang diwakili peguam bela Ahmad Adha Amir Yasser Amri merayu agar anak guamnya diberi jaminan yang rendah, manakala Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar memohon supaya tidak dibenarkan jaminan.

Tiada jaminan ditawarkan

Sementara itu Badrul Munir memutuskan tiada jaminan ditawarkan dan tarikh 19 September ditetapkan bagi sebutan semula kes serta laporan perubatan mangsa.

Difahamkan pendakwaan dilakukan secara dalam talian bagi membendung penularan Covid-19.

Sebagai rekod, Syamsul sebelum ini sudah didakwa dengan 12 kes membabitkan jenayah seksual khususnya melibatkan kes cabul.

Bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dikenakan dan kes-kes tersebut masih di peringkat perbicaraan.