Skip to main
Logo Malaysiakini

150,000 laptop: Sampai sekarang habuk pun tak nampak - MP DAP

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menggesa kerajaan Perikatan Nasional memberi penjelasan mengenai pengumuman 150,000 komputer riba kepada murid-murid di 500 buah sekolah seperti yang diumum pada Belanjawan 2021.

"Setakat ini, semua bantuan yang diberikan kepada sekolah-sekolah di Kepong adalah dari organisasi, syarikat dan dari rakyat sendiri.

"Sekolah adalah institusi di bawah kelolaan kerajaan, tetapi semuanya pihak sekolah yang perlu cari sendiri.

"Laptop yang dijanjikan pula masih belum diberikan kepada mereka yang memerlukan. Sampai sekarang habuk pun tak nampak. Adakah Menteri Pendidikan di dalam kerajaan PN serius dengan pendidikan anak-anak di Malaysia?" soalnya dalam kenyataan.

Tambahnya, sudah hampir dua tahun negara menghadapi pandemik Covid-19, namun kerajaan masih tiada perancangan khusus untuk pendidikan anak-anak.

Lim berkata sepatutnya lebih banyak belanja disalurkan kepada sektor pendidikan, lebih-lebih lagi dalam memastikan pengajaran dari kelas fizikal ke kelas maya dapat dilakukan dengan jayanya.

"Tapi duit kerajaan PN pakai untuk beli ahli parlimen dan buat jawatan baru untuk ahli politik tak boleh pakai. Kerajaan gagal segagal gagalnya," dakwanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan skim bantuan ini akan direalisasikan menerusi sumbangan RM150 juta disalurkan ke Tabung Cerdik daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).