Skip to main
Logo Malaysiakini

Ketua Umno Sungai Petani dipanggil cuma untuk bantu siasatan, kata polis

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir menjelaskan pihak berkuasa memanggil Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Shahanim Mohamad Yusoff hanya untuk tujuan membantu siasatan.

Ahmad Shukri berkata ia berikutan terdapat komen jelik dalam hantaran Facebook Shahanim yang menyebut tentang 13 kematian Covid-19 di Kuala Muda, Kedah sebelum ini.

"Polis panggil ekoran dia punya posting (hantaran), itu saja.

“Dia membantu siasatan sebab dalam siasatan awal polis, nama dia disebut oleh netizen. Itu saja,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut Ahmad Shukri, ia tidak menjadi isu malah Shahanim yang juga bekas naib ketua Puteri Umno Malaysia juga tidak dituduh atas sebarang kesalahan.

“Tak ada apa untuk dia. Kita tak akan dakwa dia apa pun. Tak ada isu untuk dia ni,” katanya.

Semalam, Shahanim mendedahkan bahawa dia hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Setar dan memberi bayangan ia berhubung kenyataan di Facebook yang dimuat naik olehnya. 

Mendedahkan perkara tersebut melalui Facebooknya, Shahanim menegaskan bahawa dia tidak membuat komen jelik atau menghina Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Sebaliknya, kata Shahani, dia hanya menaikkan status berhubung jumlah kematian di Kuala Muda.

“Orang ramai yang komen macam-macam," katanya di Facebook pada hantaran yang disertakan dengan gambarnya hadir di balai polis.

Mengulas lanjut, Ahmad Shukri turut mengesahkan Shahanim dipanggil disebabkan isu berkaitan Sanusi.

“Kalau tengok komen awal dia mengenai 13 orang mati di Kuala Muda. Daripada wall dia tu, orang lain yang membuat komen jelik terhadap menteri besar,” katanya.

Setakat ini, empat individu memberi keterangan kepada polis berhubung kritikan terhadap Sanusi.

Sanusi baru-baru ini mengundang kontroversi dan kritikan susulan kenyataannya berkaitan kontena jenazah pesakit Covid-19. Susulan itu, pegawai khas Sanusi membuat laporan polis.