Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Muhyiddin bukan nak jadi diktator, akan mengalah akhirnya

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Dalam politik demokrasi yang bersumberkan mandat rakyat, prinsip keabsahan tidak boleh dipandang ringan.

Memang bila kita menjadi perdana menteri Malaysia, kuasa kita besar sekali. Pada mulanya kita hanya seorang ahli parlimen biasa di satu kawasan di tanah air kita. Mungkin pengundi kita hanya 50,000 atau 60,000 orang. Kita mungkin menang dengan majoriti kelebihan tak sampai 10,000. Tetapi apabila Yang di-Pertuan Agong telah melantik kita sebagai perdana menteri di bawah Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan, maka tiba-tiba, keadaan berubah sama sekali.

Kita sebagai perdana menteri tiba-tiba memiliki kuasa yang amat besar, sehingga Yang di-Pertuan Agong yang melantik kita tadi, terpaksa sekarang mendapatkan nasihat perdana menteri terlebih dulu di bawah Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan untuk berbuat sesuatu tindakan, walaupun dalam tempoh Proklamasi Darurat. Hanya dalam soal pembubaran Parlimen di bawah Perkara 43(4), kuasa budi bicara kembali berada di tangan Yang di-Pertuan Agong.

Kecualilah kalau kita memang dari awal ada kecenderungan untuk jadi diktator, maka kita tak peduli soal keabsahan ataupun legitimasi. Perkataan mandat rakyat, kedaulatan rakyat, demokrasi, prinsip pengasingan kuasa, kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan, Rukun Negara - semua ini dibuang ke laut.

Tetapi perdana menteri kelapan sekarang, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukanlah pemimpin yang mahu jadi diktator. Dia pemimpin yang baik, peribadi yang baik dan berhemah. Ini pandangan saya. Mungkin saya silap. Tetapi saya percaya pada akhirnya Muhyiddin Yassin akan menyerah kalah dan menerima hakikat. Soal keabsahan dirinya sebagai perdana menteri menghantuinya setiap hari.

Saya percaya pada saat ini Muhyiddin Yassin tahu dia sudah kehilangan majoriti di Dewan Rakyat. Dia tahu Istana tidak lagi menyebelahinya. Dia insaf, Umno yang jadi salah satu tiang seri menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya telah menarik balik sokongannya. Muhyiddin juga tahu jumlah ahli parlimen di blok pembangkang mengatasi jumlah yang dimiliki blok kerajaan.

Hassan Karim

Dalam persimpangan membuat keputusan ini, Muhyiddin sebagai pemimipin kerajaan awam menyedari keabsahan dirinya dan kerajaannya amatlah penting. Dia anak seorang tuan guru agama. Tentu sahaja dia rasa tidak senang jika dia mula dipanggil perdana menteri haram. Dia tentu tidak dapat terima jika kerajaan PN mula dipanggil kerajaan haram.

Sehari dua mungkin boleh tahan, tetapi jika laungan perdana menteri haram dan kerajaan haram berpanjangan, saya rasa seorang pemimpin bernama Muhyiddin Yassin yang sudah sekian lama, sejak dirinya muda, berada dalam dunia politik demokrasi tidak akan tenteram dengan slogan-slogan yang menghina itu. Hati nurani atau consciene akan terganggu. Alam politik pun ada moralnya, ada etikanya.

Saya ada pengalaman peribadi untuk dikongsi. Ahli parlimen Pagoh ini seorang pemimpin yang bermaruah. Bapa saudara saya, iaitu sepupu kepada arwah emak saya, seorang pemimpin Umno Pontian berpuluh tahun lalu pernah menulis birografi tentang Muhyiddin Yassin dengan memberi tajuk: Muhyiddin Yassin Seorang pemimpin Yang Bermartabat. Ada nilai-nilai yang baik tentang Muhyiddin Yassin sebagai seorang pemimpin ditulis dalam buku tersebut yang layak diketahui umum.

Sedikit sebanyak saya mengenali Muhyiddin Yassin. Dalam tempoh beberapa tahun menjelang PRU14 pada 9 Mei 2018, kami berkempen bersama-sama menentang Umno dan BN yang dipimpin Najib Razak. Isu 1MDB adalah isu utama. Muhyiddin Yassin presiden Bersatu dan pengerusi PH Johor. Ketika itu saya pengerusi PKR Johor merangkap timbalan pengerusi bersama PH Johor.

Kami berceramah bersama-sama, berkempen bersama-sama hampir ke seluruh ceruk rantau negeri Johor yang luas itu. Kami pemimpin-pemimpin PH Johor kerap bermesyuarat bersama. Kadang-kadang di Johor Bahru, kadang-kadang di rumah Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Sering makan minum di rumah Tan Sri dan di Pejabat Bersatu di Johor Bahru.

Mengenangkan ini semua, walaupun saya sering menuntut dia supaya berundur dan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, saya cuba lakukan dan ucapkan dengan sebaik mungkin supaya tidak kelihatan kurang ajar, biadab dan celupar. Ini budaya Melayu dan budaya Islam. Hormat kepada yang berhormat ahli parlimen Pagoh itu tetap ada. Dua penggal, hampir 10 tahun Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar Johor Darul Takzim, dan saya pula adalah anak Johor.

Biasanya saya menggunakan pendekatan perundangan Perlembagaan untuk meminta Muhyiddin berundur. Walaupun saya tegas minta dia berundur sebagai perdana menteri dan saya percaya dia menyedari hal itu, tetapi dia tetap menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya melantik saya sebagai Ahli Jawatankuasa Mengenai Rasuah (JKMR) SPRM. Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri sebagai perdana menteri telah menyampaikan suratcara perlantikan tersebut kepada saya di Parlimen pada 26 Julai lalu.

Sebelum saya mengakhiri tulisan ini, izinkan saya menceritakan satu pengalaman peribadi semasa berkempen bersama-sama Tan Sri Muhyiddin di Felda Redong dalam Parlimen Sekijang, Johor semasa PRU lalu. Hari itu hari Jumaat. PH Johor ada program kempen di salah sebuah rumah peneroka Felda Redong itu, tidak jauh dari masjid.

Sebelum program kempen bermula dijadualkan selepas sembahyang Jumaat, Tan Sri Muhyiddin dan saya, serta pemimpin-pemimpin PH lain beramai-ramai pergi bersembahyang di Masjid Jamek Felda Redong. Kami duduk di baris paling hadapan dalam masjid itu. Selepas selesai sembahyang, diadakan majlis tazkirah di dalam masjid tersebut.

Pengerusi majlis memberi ucapan alu-aluan dengan menyebut nama tetamu undangan antaranya tuan kadi Segamat, ahli parlimen Sekijang ketika itu, pengerusi jawatankuasa masjid dan lain-lain. Tetapi satu nama tidak disebut. Pengerusi seperti sengaja langsung tidak menyebut nama Tan Sri Muhyuddin Yassin, yang merupakan bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri besar Johor.

Sedangkan Muhyiddin ada di barisan depan bersebelahan VVIP yang diumumkan tadi. Begitulah penghinaan yang pernah Muhyiddin lalui ketika itu. Saya amat bersimpati kepadanya ketika diaibkan begitu rupa apabila hilang kuasa.

Jadi, sekiranya tulisan ini dapat dibaca oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya menasihatinya sebagai sahabat supaya buatlah tindakan yang terbaik dan terhormat di hujung kerjaya politiknya sebagai pemimpin negara.

Tidak perlu tunggu sehingga ujian undi percaya di Dewan Rakyat yang menjanjikan ahli parlimen Pagoh itu akan tewas dengan aib. Elakkanlah kejadian itu. Seterusnya, usah dilawan Istana yang dalam krisis Perlembagaan ini mempunyai sisa-sisa kuasa yang boleh memecat seorang perdana menteri. Ia akan menjadi satu duluan yang tidak manis dalam sejarah Malaysia, di mana seorang perdana menteri sebuah kerajaan awam dipecat oleh Raja. Elakkan kemungkinan ini juga.

Jadi ambilah jalan mulia dan terhormat dengan mengundurkan diri sebagai perdana menteri. Tindakan ini akan dihormati semua pihak dan disanjung rakyat yang inginkan perubahan politik yang aman dan tumpuan pemimpin negara diberikan kepada usaha keras memerangi wabak Covid-19 serta membantu kehidupan rakyat dan penyusunan semula serta pemulihan ekonomi negara dapat dilaksanakan dengan kepimpinan politik yang berkesan dan berwibawa.

Rakyat tidak mahu krisis Perlembagaan yang berpanjangan. Rakyat tidak mahu PRU dalam waktu wabak penyakit Covid-19 ini yang semakin serius.

Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah muncul sebagai pemimpin yang dihormati dan berwibawa ketika berani menetang pemimpin kerajaan yang rasuah dan skandal besar 1MDB sebelum PRU yang lalu, dan dia sanggup berkoran serta hilang jawatan atas pendiriannya yang berprinsip itu.

Maka kali ini, saya sebagai seorang sahabat kepadanya mohon Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan pengorbanan yang sama sekali lagi dengan melepaskan jawatan perdana menteri yang keabsahannya itu telah lantang dan jelas sekali dipertikaikan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai seorang perdana menteri dan pemimpin yang bermartabat, seperti pernah diungkapkan dalam sebuah buku tulisan bapa saudara saya itu, pasti akan melakukan suatu tindakan politik yang betul pada saat genting ini.

Saya akhiri tulisan ini dengan buat kali penghabisan memohon sahabat saya dan pemimpin saya Tan Sri Muhyiddin Yassin agar segeralah meletakkan jawatan perdana menteri sekarang.


HASSAN ABDUL KARIM ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang.

Artikel ini pandnagan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasm Malaysiakini.