Skip to main
Logo Malaysiakini

MAIPk kaji kaedah urus tanah perkuburan cara kitar semula

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan membentangkan hasil kajian berhubung dasar dan program penggunaan serta pengurusan tanah perkuburan Islam berkonsepkan kitar semula kepada kerajaan negeri dalam tempoh enam bulan.

Yang Dipertua MAIPk Mohd Annuar Zaini berkata kajian rintis dimulakan di Tapak Perkuburan Islam Gurap di Ipoh bagi menilai peratus penggunaan semasa tanah perkuburan itu, keluasan keseluruhan, angka dan nisbah kematian, pertambahan penduduk dalam kawasan kariah itu serta perkara-perkara lain yang berkaitan.

“MAIPk menjangkakan kajian awal akan siap dalam enam bulan untuk dikemukakan supaya kerajaan negeri tidak perlu mencari dan membuka tanah baru sebab unjuran kita di tanah perkuburan di Meru pun akan sampai pada 2040.

“Jadi kami akan selaraskan cara pengurusan kubur yang sekarang ini ia dijalankan secara persendirian,” katanya dalam sidang media sempena persidangan ke-218 MAIPk di Kompleks Islam Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

Menurut Mohd Annuar, dasar itu perlu diperkenalkan bagi penggunaan dan pengurusan tanah perkuburan Islam yang lebih produktif lagi ekonomik dengan mengoptimumkan penggunaan tanah di Perak.

“MAIPk menyedari tanah semakin hari semakin berkurangan dan adalah sumber ekonomi yang semakin pupus, maka penggunaan tanah hendaklah diutamakan untuk memenuhi keperluan kehidupan harian.

“Sudah sampai masanya untuk memperkenal dan mendidik masyarakat akan program berkonsepkan mengitar semula tanah kubur yang lama dan terbiar seperti dilaksanakan di tempat-tempat lain,” katanya.

Mohd Annuar berkata MAIPk berpuas hati dengan kajian awal setakat ini dan ia akan diperluaskan ke seluruh 969 tapak perkuburan Islam di Perak yang berkeluasan 1,454 hektar.

Katanya susulan itu, Jabatan Agama Islam Perak perlu menubuhkan unit pengurusan kubur Islam untuk memberi garis panduan dan cara susunan baru termasuklah tidak membenarkan binaan secara kekal supaya tiada masalah ketika melakukan proses kitar semula.

Sementara itu, Mohd Annuar memaklumkan kutipan zakat di Perak hingga 30 Jun lalu mencatatkan jumlah RM79.07 juta iaitu menurun sebanyak 23.60 peratus atau RM24.42 juta berbanding tempoh sama pada 2020 yang mencatatkan kutipan sebanyak RM103.48 juta.

“Kutipan wakaf tunai di bawah Wakaf Perak Ar-Ridzuan sehingga tempoh sama pula mencatatkan peningkatan sebanyak 17.25 peratus atau RM301,497.06 iaitu pungutan berjumlah RM2.048 juta berbanding RM1.747 juta pada tahun lepas,” katanya.

Mohd Annuar berkata pengurangan kutipan zakat dijangka berlaku berikutan unjuran penyusutan ekonomi negara akibat pandemik Covid-19 manakala peningkatan kutipan wakaf tunai dicapai hasil inisiatif mempelbagaikan medium pembayaran.

Selain itu, Mohd Annuar berkata persidangan hari ini turut melantik 19 belia untuk menganggotai jawatankuasa baitulmal pertengahan dan jawatankuasa baitulmal daerah sebagai menjunjung titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah untuk melibatkan lebih ramai belia ke arah tanggungjawab kepimpinan dalam aktiviti MAIPk.

Katanya pelantikan anggota-anggota belia dipercayai dapat memberikan dimensi baru dan ruang yang luas bagi golongan berkenaan menyuarakan pandangan serta mencetuskan idea tentang agihan-agihan zakat dan program-program berkaitan.

- Bernama