Skip to main
Logo Malaysiakini

Demo kedua #Lawan: 7 aktivis disiasat bawah Akta Hasutan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tujuh aktivis sedang disiasat kerana menghasut berkaitan peranan mereka dalam merancang tunjuk perasaan #Lawan yang kedua.

Peguam Rajsurian Pillai memberitahu Malaysiakini ketujuh-tujuh mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada pukul 10 pagi hari ini untuk diambil keterangannya yang berakhir sekitar jam 11.40 pagi tanpa sebarang penangkapan.

Tujuh aktivis tersebut adalah Mohammad Asraf Sharafi Mohammad Azhar, Mohamad Abdullah Alshatry, Qyira Yusri, Tharmalinggam Pillai, Dobby Chew, dan Sevan Doraisamy.

Semuanya terlibat dengan Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR), penganjur protes #Lawan hujung Julai lalu.

Mereka disiasat bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 kerana menerbitkan kandungan menghasut; dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan dan perhidmatan rangkaian.

Rajsurian berkata banyak laporan dibuat terhadap perhimpunan kedua #Lawan yang dirancang di Dataran Merdeka pada 21 Ogos, menyebabkan polis memanggil aktivis berkenaan untuk disiasat.

Beberapa aktivis telah disiasat oleh polis baru-baru ini kerana penyertaan mereka dalam tunjuk perasaan #Lawan bulan lalu.

Bercakap kepada media selepas diambil keterangan mereka, Asraf menyifatkan siasatan polis dan penggunaan Akta Hasutan 1948 sebagai ugutan daripada pihak berkuasa.

"Penggunaan Akta Hasutan melampau. Ini bentuk intimidasi terhadap aktivis yang hanya menyatakan pandangan mereka dan menggunakan hak kami sebagai rakyat Malaysia berdasarkan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Kami masih dapat menerimanya jika kami disiasat di bawah undang-undang lain, tetapi Akta Hasutan ini berlebihan.

"Ini menunjukkan ada pihak yang merasa tidak senang dengan gerakan dan tuntutan kami," katanya.

Asraf berikrar semua aktivis akan meneruskan gerakan dan tuntutan mereka, dan tidak akan tunduk terhadap tekanan daripada pihak berkuasa.

"Kami ingin menyatakan SSR tidak akan berganjak, kami akan terus menyuarakan tuntutan kami sehingga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin letak jawatan," katanya.

Minggu lalu, SSR mengumumkan akan merancang tunjuk perasaan "lebih besar" pada 21 Ogos susulan demonstrasi #Lawan bulan lalu, selepas tuntutan mereka agar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mundur diabaikan.

Ratusan penunjuk perasaan kebanyakannya berpakaian hitam ingkar perintah kawalan pergerakan (PKP) berhimpun di sekitar Dataran Merdeka pada 31 Julai lalu.

Mereka mendesak Muhyiddin meletak jawatan perdana menteri setelah banyak pihak menganggap kerajaan gagal dalam menangani wabak Covid-19, dengan peningkatan kes harian dan jumlah korban.