Tak semestinya majoriti PM ditentukan di parlimen, kata bekas speaker Perak
Penentuan sokongan terhadap perdana menteri tidak semestinya hanya boleh dilakukan di Dewan Rakyat, sebaliknya masih boleh dilakukan dengan kaedah lain, kata bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar.
Berkongsi pengalamannya semasa krisis di Perak, Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah berkata dakwaan bahawa bekas menteri besar Mohamad Nizar Jamaluddin hilang sokongan majoriti tidak pernah dibuktikan dalam sidang DUN.
"Walaupun saya menekankan agar adakan sidang DUN untuk membuktikan sokongan majoriti terhadap Nizar, namun permintaan itu ditolak. Sokongan ke atasnya tidak pernah diuji di sidang DUN. Ia dilakukan di luar DUN.
"Malah, dalam krisis Perak, Mahkamah Persekutuan bersetuju bahawa kaedah menarik balik sokongan di luar DUN terhadap Nizar selaku menteri besar boleh diterima pakai.
"Jadi, Annuar Musa salah apabila mendakwa sokongan ahli parlimen perlu ditentukan dalam sidang parlimen. Tidak semestinya. Kita sudah ada precedent (duluan) di Perak," katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan Annuar bahawa sebarang angka sokongan kepada perdana menteri tanpa melalui proses undian di parlimen adalah bersifat andaian dan boleh dicabar.
Menurutnya, sebanyak 120 anggota Dewan Rakyat telah pun menyerahkan surat akuan kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan tidak menyokong Muhyiddin dan kerajaan PN.
"Dengan mengambil kira krisis Perak, surat akuan oleh 120 ahli parlimen kepada Seri Paduka Baginda itu sudah mencukupi untuk mengesahkan bahawa Muhyiddin dan kerajaan PN sudah hilang majoriti.
"Minta adakan sidang parlimen pada September untuk buktikan majoriti melalui undi percaya hanya 'beli masa' untuk kekal berkuasa," katanya.
Untuk rekod, krisis politik Perak berlaku apabila Nizar didakwa hilang majoriti selepas tiga Adun (Dua PKR dan DAP) beralih sokongan kepada BN menjadikan sokongan kepada BN 31 berbanding 28 kepada Pakatan Rakyat.
Susulan itu Sultan Perak ketika itu, Almarhum Sultan Azlan Shah memutuskan di luar DUN bahawa Nizar sudah tidak mempunyai majoriti dan melantik Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar yang baru.
Terdahulu, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, sebarang angka dirumus oleh Speaker Dewan Rakyat bersifat andaian dan boleh dicabar.
Ini selepas Malaysiakini melaporkan Istana Negara didakwa menghantar surat meminta pengesahan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun berhubung jumlah sokongan anggota Dewan Rakyat terhadap Muhyiddin.
Sumber mengesahkan kesahihan warkah berkenaan, walaupun istana dan Azhar tidak memberikan sebarang maklum balas.
Pemuda Umno semalam membuat laporan polis susulan laporan MalaysiaPost yang mendakwa Azhar menjawab surat istana dengan memaklumkan Muhyiddin mempunyai 100 sokongan.
'Tiada keperluan umum calon PM alternatif'
Sementara itu, Sivakumar berkata tidak semestinya ahli parlimen perlu mengemukakan calon PM alternatif yang mempunyai majoriti sebelum mendesak Muhyiddin berundur.
"Isunya adakah Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti atau tidak?. Kemungkinan selepas Muhyiddin letak jawatan, akan ada jajaran politik baru untuk menentukan calon PM yang baru dengan sokongan majoriti.
"Maka keperluan mengumumkan calon PM alternatif tidak wujud buat masa ini," katanya.
Muhyiddin kini berdepan krisis sokongan di Dewan Rakyat selepas 105 anggota parlimen dari pembangkang dan 15 daripada Umno menarik sokongan terhadapnya selaku perdana menteri.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai