Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Masa Tan Sri sudah tiba

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri, rakyat Malaysia menanti dengan tenang untuk Tan Sri melakukan perkara yang wajar, benar dan terhormat.

Seantero dunia mengetahui bahawa Tan Sri tidak lagi mempunyai majoriti. Tidak ada apa jua alasan yang mewajarkan Tan Sri menangguhkan peletakan jawatan walau sesaat lewat.

Perlembagaan Malaysia bukanlah instrumen yang boleh diperlaku dan ditafsir dengan nafsu serta kehendak penguasa. Ia adalah instrumen yang dirangka untuk melinduangi kepentingan negara dan bangsa ini, bukan melindungi seorang perdana menteri atau mana-mana parti politik.

Justeru perdana menteri yang dihormati, masa Tan Sri telah tiba. The game is over! Serahkan kembali kuasa dan kerajaan kepada rakyat dan biarkan rakyat menetukan jalan seterusnya.

Negara ini tidak boleh diperjudi dan diperlakukan seperti ini. Malaysia dan masa depannya lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada kepentingan sekelompok Tan Sri.

Perdana Menteri, Tan Sri telah berjuang puluhan tahun dalam Umno untuk negara ini menjadi lebih baik. Malah kita sebelum ini bersama-sama dalam perjuangan itu.

Kemudian Tan Sri meneruskan perjuangan dengan parti baru serta akhirnya diberikan kepercayaan untuk mengemudi kerajaan Perikatan Nasional.

Tetapi percayalah, walaupun Tan Sri berasakan bahawa Tan Sri telah melakukan yang terbaik, tetapi yang terbaik daripada Tan Sri dan rakan-rakan dalam kerajaan itu tidak sepertinya pada sisi pandang rakyat dan kami semua.

Pilihan raya atau apa jua pilihan seterusnya, biarkan raja yang kita cintai putuskan dengan hikmah dan pedoman yang terbit dari segala rasa hati dan nurani rakyat.

Amerika Syarikat mengadakan pemilihan presiden pada waktu pandemik memuncak. Tetapi pilihan raya tersebutlah yang menyelamatkan negara itu. Bukan sahaja menyelamatkan negara itu daripada terjebak dalam pandemik yang lebih parah, tetapi juga daripada kecurangan dalam amalan demokrasi.

Mungkin ini yang Malaysia perlukan.

Akhirnya perdana menteri, berilah laluan dengan terhormat untuk orang lain pula meneruskan perjalanan negara ini. Insya-Allah, dengan melakukan perkara sedemikian, Tan Sri akan dikenang sebagai pemimpin yang benar-benar menjiwai denyut nadi rakyat negara ini dan mencintai tanah air ini dengan sebesar-besar cinta dan kasih.

Malaysia mesti diberikan pelung untuk direkayasa dan dibangunkan semula. Semoga segala khidmat, darma bakti dan sumbangsih Tan Sri sebagai perdana menteri akan diterima sebagai amal kebaikan dan diberikan ganjaran sebaiknya di alam yang baqa nanti.


MOHAMED KHALED NORDIN ialah naib presiden Umno.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.