Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Pemerintahan terkutuk menurut Hamka

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Di tengah ketidaktentuan politik hari ini, saya fikir amat wajar untuk kita semua merenung kembali beberapa pernyataan dasar tentang konsep negara yang pernah kita cita-citakan.

Politik seperti kita semua sedia maklum, tercipta dengan corrupted element. Ertinya, bersih dan kotor politik itu begitu anjal dan bergantung kepada pelakunya iaitu politikus. Jika politikus itu bersih, maka bersihlah. Jika sebaliknya, maka politik tadi akan terus rosak dan merosakkan.

Di dalam sejarah, kita melihat ada beberapa kejarangan. Salah satunya ialah dalam sejarah pemerintahan empayar Islam, kita lihat amat jarang ada khalifah yang didendang kerana keadilannya yang jagat dan urus tadbirnya yang telus. Boleh dikira dengan jari sahaja berapa sangat khalifah yang benar-benar berhasil mengurus tadbir berlandaskan kepada ciri-ciri dan prinsip Islam; antaranya Umar Abdul Aziz di Bani Umayyah dan Harun al-Rashid di Bani Abbasiyah.

Selebihnya, ada sahaja cerita bawah meja atau dalam seluar yang dipalitkan.

Justeru, kita boleh simpulkan bahawa, walaupun namanya pemerintahan Islam, empayar Islam, khalifahnya beragama Islam, urus tadbirnya belum tentu Islam, polisi-polisinya belum tentu Islam dan sikapnya belum tentu Islam. Begitulah.

Sudah ramai sarjana menulis dan membahas berkaitan konsep negara Islam. Ada sarjana yang meletakkan garis yang jelas bahawa tiada konsep negara Islam, yang ada cuma negara bercirikan prinsip-prinsip pentadbiran dalam Islam. Boleh jadi ia negara sekular, tapi ciri-ciri pentadbiran Islam seperti keadilan, ketelusan, tidak rasuah dan korup, diamalkan dengan baik.

Cuma, untuk melihat menerusi perspektif yang lebih menarik, saya fikir buku Negara Islam, karangan Hamka, wajar didiskusikan. Saya membaca buku bermula jam 11 malam dengan niat supaya saya termengantuk lalu tertidur, tetapi tidak semena-mena mata terbeliak dan tidak semena-mena juga saya menghabiskan buku ini pada jam dua pagi.

Dan di pagi keesokan harinya, saya menulis artikel ini.

Mungkin apa yang telah dinukilkan Hamka telah banyak diperbahaskan oleh sarjana-sarjana besar yang lain. Tetapi Hamka tidak pernah kurang dari memberi perspektif baru yang lebih segar, dan sudah tentu memerlukan fikir ulang yang lebih mendalam.

Di dalam buku Negara Islam misalnya, Hamka tidak terlalu berusaha merangka konsep dan rajah pentadbiran Islam secara teknikal, tetapi memberikan tumpuan yang begitu mendalam kepada inti dan dasarnya dengan melihat semua sejarah zaman Baginda Nabi SAW dan kemudiannya mengorek beberapa prinsip yang perlu ditunjangi oleh masyarakat zaman selepasnya.

Bahkan di dalam pendahuluan, Hamka menitikberatkan bahawa, agama itu sifatnya bergerak dan alamat fiqih itu adalah kerana pergerakan ijtihad oleh ulama mengikut situasi dan keperluan masyarakat. Justeru itulah adanya empat mazhab yang diikuti ramai, kerana imam mazhab itu berijtihad mencari jawapan kepada persoalan-persoalan baru yang muncul.

“... fiqah namanya, ertinya hasil faham, hasil pendapat, hasil kesungguhan ijtihad.” (Negara Islam, 5)

Oleh itu, kata Hamka lagi, tidak perlulah kita memperdebat soal siapa benar dan siapa kurang benar kerana akarnya tetap sama, semuanya bertunjang kepada al-Quran dan al-Hadis juga.

Hamka mengarang Negara Islam kerana desakan dan idea dari beberapa orang rakan, antaranya Za’ba sendiri yang menyuarakan kekecewaan kepada pergerakan Islam (baca: jemaah) dan meminta Hamka menghurai dan menjelaskan kepada mereka konsep negara Islam yang sebenar. Maka, lahirlah buku ini.

Kritikan Hamka

“... kemenangan tentera Islam menghadapi musuh dari benua Eropah itu menyebabkan kebanggaan dan kesombongan, sehingga timbul iktikad bahawa Islam senantiasa ditolong Tuhan, lalu tidak perlu berusaha lagi. Segala sesuatu pun telah mundur, mundur pemerintahan, hilang persatuan, dan mundur pula peri penghidupan, mundur pula cara berfikir...” (Negara Islam, 11).

Terdapat beberapa perspektif yang penting dan barangkali, jarang kita jumpa penghuraian yang sedemikian rupa di dalam lambakan buku-buku berkaitannya.

Hamka menggambarkan bagaimana sikap pekerja-pekerja Islam, politikus-politikus Islam, homo-Islamicus, yang sering menganggap bahawa kemuliaan niat mengatasi keperluan ikhtiar. Dan apabila kerja-kerja urus tadbir negara menjadi pincang dan huru-hara, mereka menganggap bahawa itu semua tidak penting kerana niat mereka dan tujuan mereka lebih kudus dan mulia.

Sikap ini melahirkan politikus yang percaya bahawa kedudukan mereka lebih mulia (self-pious), keberadaan mereka lebih penting dan kudus berbanding orang lain, hanya kerana mereka melaungkan syiar mahu menegakkan sistem pemerintahan Islam dan mengenakan jubah dan kopiah.

Sehingga akhirnya “Segala sesuatu pun telah mundur, mundur pemerintahan, hilang persatuan, dan mundur pula peri penghidupan, mundur pula cara berfikir...” (Negara Islam, 11).

Kenyataan ini menunjukkan konsekuensi yang sangat parah apabila politikus Islam tidak memahami kepentingan urus tadbir, ketelusan dan kompetensi dalam pemerintahan negara sehingga akhirnya ia melahirkan pula puak yang mundur cara berfikir.

Kebenaran tidak dimonopoli oleh satu golongan sahaja

Konsep negara Islam juga harus bertunjangkan kepada prinsip bahawa: “Kebenaran itu bukanlah kepunyaan satu golongan sahaja, tetapi kebenaran ialah tali perhubungan Tuhan dengan seluruh manusia, dan seluruh bangsa (Negara Islam, 15-16).

Mulanya saya tertanya kenapa Hamka memasukkan perbahasan berkaitan kebenaran ini, yang selalunya muncul dalam wacana-wacana post-modernisme, etika dan moral, dalam karangan tentang konsep negara Islam.

Rupanya perkaitannya amat kuat kerana bagi Hamka, ada dua asas dalam pemerintahan Islam yang harus dititikberatkan.

Satunya ialah takwa, dan satu lagi ialah litaarafu, konsep keharmonian kaum di sebalik pesan saling kenal-mengenal dalam al-Quran.

Kebenaran tidak boleh dimonopoli oleh sesebuah golongan sahaja kerana konsep kebenaran sangat berkait rapat kepada soal takwa. Sebab itu apabila suatu golongan berpandangan bahawa mereka yang paling benar, itu satu bentuk kebatilan kerana ia membatalkan golongan lain yang juga berusaha untuk menunjangi takwa dalam pergerakan mereka.

Malah jika sesebuah golongan menganggap mereka paling benar, ia menyalahi konsep litaarafu yang harus menjadi asas dalam pemerintahan kerana pemerintahan itu haruslan harmoni, damai, adil dan menyatukan.

Takwa sangat berkait rapat dengan akhlak dan sikap. Seseorang pemimpin tidak boleh merasa dirinya paling benar dan tidak boleh ditegur. Pemimpin harus insaf bahawa mereka cuma insan yang berusaha mencapai takwa tadi. Kata Hamka,

“Martabat yang dapat dicapai manusia ialah buah ketinggian budinya, buah keteguhan imannya dan buah keluasan ilmunya. Bukan kerana dia keturunan bangsawan, kerana keturunan bangsawan katanya itu, tidak lebih daripada salasilah pertaliannya pada Bani Adam.” (Negara Islam, 35).

Pokoknya, bangsa, kedudukan, bukanlah penentu kepada kelayakan memerintah, tetapi sikap, akhlak, dan kefahaman terhadap ciri-ciri pemerintahan Islam tadi dan kemampuan bekerja, itulah penentunya.

Sikap pemimpin dan penolakan jelas kepada pemerintahan yang zalim

Hamka mengutip beberapa pandangan filsuf besar seperti Ernest Renan yang mengatakan bahawa suatu nation itu tidak terbentuk kerana persatuan agama, bangsa, suku kaum, daerah atau geopolitik, tetapi dibentuk oleh keinginan untuk bersatu, dan keinginan bercita-cita.

Propaganda murahan bernada perkauman, agama, walaupun kedengaran bingit dan memenangi persepsi, tetapi menurut Hamka, tidak akan mampu membentuk suatu nation yang berfungsi kerana ia telah terbukti menjadi barah yang menjatuhkan pemerintahan Islam.

Hamka mengenang semula peristiwa Ali dan Muawiyah, peristiwa Yazid dan Hussein, juga peristiwa-peristiwa yang sangat menyedihkan kerana politik kaum itu telah mengatasi asal tujuan kepada pemerintahan iaitu takwa dan litaarafu tadi.

Di dalam sebuah buku yang lain iaitu Di Tepi Sungai Dajlah, Hamka menuliskan sejarah kejatuhan Bani Umayyah dan Bani Abbasiah semuanya berpunca daripada sikap perkauman yang melampau dari dalam negeri itu sendiri dan dari puak dan bangsa yang sama.

Justeru konsep menyatukan bangsa dan agama ini ialah propaganda yang terbukti bakal merosakkan dan dibumbui pula dengan sikap pemimpin dan politikus Islam yang self-pious dan arrogance (seperti disebutkan oleh Hamza Yusuf).

Sebaliknya konsep akhlak, takwa dan keharmonian kaum (litaarafu) yang sepatutnya diutamakan. Konsep akhlak ini merangkumi amanah, kompetensi dan ketelusan urus tadbir.

Hamka juga menegaskan bahawa pemerintahan Islam mestilah tidak berlaku zalim kepada rakyat. Kata Hamka:

“Pemerintahan yang berlaku zalim, adalah pemerintahan yang terkutuk. Pemerintahan demikian mesti jatuh.” (Negara Islam, 87).

Hamka berijtihad bahawa perlu ada usaha untuk menjatuhkan pemerintahan zalim walaupun pemerintah itu pemerintah yang menggelar diri mereka kumpulan Islam kerana kezaliman sangat bahaya. Kesannya kata Hamka:

“Jika raja-raja, jika pegawai-pegawai melakukan kezaliman, maka dunia akhirat, akan hidup dalam kegelapan. Negara tidak ada suluh, tidak tentu ke mana haluannya.” (Negara Islam, 87).

Sebagai rakyat yang mempunyai impian dan cita-cita kenegaraan, pesan Hamka ini wajar direnung semula. Sebagai pemimpin yang memegang tampuk kekuasaan, pesan Hamka harus direnung dengan insaf dan seandainya samada secara langsung atau tidak terjebak di dalam baur-baur pemerintahan yang zalim, bertaubatlah.

*Buku Negara Islam telah diterbitkan semula JT Books dengan kata pengantarnya disediakan oleh Menteri Agama, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.


HAFIZUL FAIZ ialah seorang penulis dan aktivis pendidikan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.