Skip to main
Logo Malaysiakini

Tawaran reformasi institusi dibuat PM yang tak dipercayai - Guan Eng

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli parlimen pembangkang yang tertarik dengan janji Muhyiddin Yassin tidak harus dipersalahkan kerana mereka hanya mahu melihat reformasi institusi dapat direalisasikan di negara ini, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Bagaimanapun, kata Lim, rekod lampau Muhyiddin mengundang kecurigaan sama ada dia benar-benar akan mengotakan janjinya itu atau pun tidak.

“Bagi mereka yang pada awalnya terpikat dengan janji reformasi, mereka tak boleh dipersalahkan kerana bersandarkan pada pepatah ‘matlamat menghalalkan cara’, tidak kiralah siapa yang memulakannya.

“Mereka tidak salah dalam mengejar reformasi institusi idealistik.

“Bagaimanapun, kita berdepan seorang perdana menteri yang mempunyai sejarah melakukan hal bertentangan, apabila matlamat menghalalkan caranya, dalam kes ini, adalah untuk kekal sebagai perdana menteri walau apa pun terjadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beberapa wakil rakyat DAP termasuk Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dan Ong Kian Ming (Bangi) menggesa pembangkang mempertimbangkan tawaran Muhyiddin.

Namun kepemimpinan parti secara sepakat memutuskan untuk menolak tawaran tersebut. DAP membuat ketetapan itu bersama PKR dan Amanah yang bergabung dalam Pakatan Harapan (PH).

Dalam usaha membina semula sokongan majoritinya yang sudah runtuh, Muhyiddin antara lain membuat tawaran untuk melaksanakan reformasi jangka panjang termasuk mengehadkan penggal jawatan perdana menteri, undang-undang antilompat parti dan komposisi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang lebih inklusif.

Selaras dengan mandat PH

Tawaran itu tidak terlepas daripada kritikan kerana ia sebelum ini ditawarkan PH, dengan sesetengahnya sedang dalam pelaksanaan sebelum berlaku Langkah Sheraton - dengan Muhyiddin menjadi antara watak utamanya - dan menjatuhkan kerajaan semasa.

Lim berkata pembaharuan institusi bukanlah suatu kepentingan politik dan hanya boleh dilakukan dengan komitmen dan pengorbanan yang sejati.

“Berdasarkan rekod perdana menteri dalam pengkhianatan politik dan komposisi kabinetnya konservatif yang selalu menentang apa-apa reformasi, wujud kewahaman (scepticism) sejati sama ada dia akan mengotakan reformasi yang dijanjikannya, sedangkan ia jelas satu muslihat untuk berkuasa atau strategi untuk terus bertahan,” katanya.

Tambah Lim, di kala ramai orang menjangkakan Muhyiddin untuk bersara, DAP tidak menyokong pilihan raya umum (PRU) diadakan semasa pandemik Covid-19 masih menjadi ancaman.

“DAP sangat jelas berkenaan pilihan kami tentang siapa yang harus menjadi perdana menteri seterusnya, selaras dengan mandat PH.

“Tidak ada satu orang yang layak menjadi perdana menteri tetapi kelayakan mestilah berdasarkan potensi kemampuan dan kebolehan untuk menangani pandemik Covid-19, kemelesetan ekonomi dan komitmen untuk melakukan pembaharuan institusi bagi menormalisasikan Malaysia sebagai negara maju yang sedang membangun,” katanya.

DAP mahu ketua pembangkang Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri PH, tetapi setakat ini masih belm jelas sama ada Anwar mampu mengumpul sokongan mencukupi di Dewan Rakyat.

Sementara itu, sekumpulan NGO menyifatkan tawaran Muhyiddin itu sebagai usaha untuk terus berkuasa di bawah nama pembaharuan institusi.

“Tujuh cadangan reformasi Muhyiddin itu ke arah kerjasama rentas parti tidak harus menjadi talian hayat untuk menyelamatkan rejim PN, bersandarkan prinsip mendahulukan rakyat,” kata mereka.

Muhyiddin, kata mereka, harus akur dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan melalui satu undian kepercayaan.

“Sejak kemerdekaan negara kita, belum pernah berlaku duluan apabila perdana menteri disingkirkan melalui undi tidak percaya.

“Kami ingin mengingatkan parti pembangkang yang mereka tidak harus tergesa-gesa menerima sebarang syarat yang diberikan perdana menteri ketika rejim PN berada dalam bahaya kini.

“Mereka sebaliknya harus menetapkan satu duluan perlembagaan semasa krisis politik ini, dengan menggesa perdana menteri yang sudah hilang sokongan majoriti untuk meletakkan jawatan serta-merta atau menggesa untuk menghormati Perlembagaan Persekutuan dan menerima usul undi tidak percaya di parlimen,” kata mereka.

Kenyataan bersama itu ditulis oleh antara lain Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) and Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram).

[Baca berita asal]