Skip to main
Logo Malaysiakini

Digelar 'penggemar durian', MP PKR gesa polis siasat tuduhan palsu

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dua ahli parlimen PKR menggesa polis menyiasat pihak yang terlibat dalam dakwaan palsu baru-baru ini yang menuduh mereka menerima rasuah untuk menyokong Perikatan Nasional.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa membuat laporan polis berasingan di balai polis daerah Petaling Jaya pagi ini.

Dalam laporannya, yang dilihat oleh Malaysiakini, Maria merujuk sebuah infografik di laman Facebook seorang individu yang dikatakan berkaitand engan Umno, Rafi Awg Kechik, yang menggambarkan dia Sivarasa dan Ahli Parlimen Damansara Tony Pua telah berpaling tadah.

Dia juga menunjukkan sebuah catatan berasingan yang membuat dakwaan berkenaan dan secara salah mengaitkan maklumat tersebut ke laman web Agenda Daily.

"Berita ini sama sekali tidak benar dan mempunyai niat buruk. Berita ini adalah usaha untuk memalukan saya dan merosakkan reputasi saya [...]

“Saya percaya penyebaran catatan dan infografik ini dilakukan secara sistematik dan merupakan penyalahgunaan internet, yang merupakan jenayah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

"Saya telah membuat laporan ini supaya polis dapat menyiasat kesalahan ini dan masalah yang berkaitan," kata Maria.

Ketika dihubungi, Sivarasa berkata dia telah membuat laporan polis yang serupa.

Maria telah menafikan dakwaan itu semalam, dengan menyifatkan ia "politik longkang" dan menekankan komitmennya kepada PKR dan Pakatan Harapan.

Infografik yang disebutkannya itu mempunyai logo Perikatan Nasional dan menyiratkan bahawa tiga pemimpin tersebut adalah "penggemar durian".

Durian dalam konteks ini merujuk kepada rasuah.

Sejak minggu lalu, beberapa ahli parlimen pembangkang telah menerima tawaran dari individu yang tidak dikenali yang menawarkan mereka "durian RM30" untuk membelot kepada PN.

Perkembangan itu hadir selepas 15 ahli parlimen Umno, termasuk dua menteri kabinet, mengumumkan menarik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Polis dan SPRM sedang menyiasat kes berkenaan.